PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071017

9. FORUM : PENDATANG HARAM - ANCAMAN NEGARA

Kenapa kita lemah tangani isu pendatang asing?

Surat 1

MEMETIK kata Dr. Faizal Tajuddin (Forum, 15 Oktober 2007) ‘‘kita sepatutnya melahirkan rasa penuh kesyukuran kerana negara kita makmur didatangi pekerja asing, dan bukannya kita yang terpaksa berhijrah menjadi pekerja asing pula.’’
Tetapi pada saya apa gunanya wujud keadaan sedemikian sedangkan hakikatnya kita seolah-olah terjajah di bumi sendiri.
Keselamatan diri sudah tidak terjamin, kebebasan untuk menikmati persekitaran tanpa sebarang prasangka sudah tidak wujud lagi. Seolah-olah ‘tindak balas berantai’ ini mencengkam diri kita sendiri sehinggakan menuntut satu pengorbanan kebebasan yang sekian lama kita kecapi.
Benarkah isu pekerja asing ini tiada penyelesaian?
Hakikatnya, apa yang terjadi dengan 13,058 penagih dadah yang telah menjalani pemulihan di pusat serenti pada tahun lepas dan ramai lagi bekas penagih dadah? Adakah mereka telah mendapat pekerjaan dan memulakan sebuah kehidupan baru ataupun hak mereka dinafikan atas alasan pernah terjebak gejala dadah hinggakan sukar memperoleh pekerjaan dan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan.
Soalnya mudah, kenapa penagih dadah yang telah selesai menerima rawatan pemulihan di pusat serenti tidak ditempatkan dalam sektor yang memerlukan pekerjaan misalnya perladangan, pertanian dan perindustrian?
Daripada hanya memberikan latihan kemahiran dalam pusat serenti semata-mata, apakah terlalu sukar untuk kerajaan sediakan pekerjaan kepada bekas penagih dadah ini.
Lihat sahaja di banyak tempat termasuk di bangunan strategik, yang menjaga keselamatan menara kebanggaan kita bukannya rakyat Malaysia tetapi orang asing. Bukankah ini satu bentuk penjajahan secara tidak langsung?
Apa yang tidak masuk akal adalah kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memulih penagih-penagih ini dan kemudian melepaskan mereka tanpa satu jaminan kehidupan yang wajar.
Maka mereka terumbang-ambing di luar sana dengan segala macam tohmahan oleh masyarakat terhadap bekas penagih dadah ini. Akibat desakan hidup, tekanan dan kecewa maka tidak hairanlah seorang bekas penagih dadah yang awalnya sudah pulih sepenuhnya berulang menjadi seorang penagih dadah sekali lagi.
Syarikat-syarikat kerajaan atau GLC sepatutnya memainkan peranan dalam menjadikan bekas penagih dadah sebagai pekerja mereka.
Bayangkan, secara kasar untuk sesebuah ladang kelapa sawit memerlukan 500 hingga 1,000 pekerja asing. Apakah terlalu sukar untuk menggantikan jumlah pekerja asing itu dengan bekas penagih dadah rakyat tempatan. Mungkin apabila sudah sampai pada satu tahap, bekas penagih dadah yang sudah ada pengalaman kerja ini boleh mencari kerjanya sendiri. Bukankah cara begini dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja.
Kita ada bekalan tempatan. Bekalan tempatan yang kita punyai ini sengaja kita abaikan dengan segala macam konotasi. Tidak pernah mana-mana individu yang tampil dengan satu syor untuk membela bekas penagih dadah ini hanya atas alasan kononnya mereka sukar untuk pulih atau insaf. Bekalan tempatan yang kita miliki ini mungkin tidak berkemahiran tinggi seperti pekerja asing tetapi kemahiran boleh diasah.
Alasan kerajaan terpaksa mengimport pekerja asing disebabkan kekurangan bekalan tempatan satu alasan yang umpama meludah ke langit.
Apa yang pasti adalah kerajaan harus memikul beban dalam memastikan rakyat negara ini tidak dijajah oleh pendatang asing. Untuk itu kerajaan harus tampil dengan alternatif yang memfokuskan kepada sumber tempatan bukannya asyik bergantung kepada orang luar.
Ada kebenaran bahawa kebanjiran pendatang asing dalam konteks negara maju seperti Malaysia ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun bukanlah pelik apabila lebih daripada dua juta (malah dipercayai lebih) pendatang asing menghuni negara ini dan pada 1 Syawal, Kuala Lumpur menjadi mini Jakarta, Georgetown menjadi mini Myanmar dan kita buat seketika terasing di negara sendiri.

Surat 2

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia hari ini (16 Oktober 2207) bukan mengejutkan. Ia umpama rahsia terbuka di kalangan rakyat. Sesungguhnya kebanjiran pendatang dan pekerja asing di negara ini, sudah ke tahap krisis. Ini termasuk mereka yang menceroboh masuk secara haram dan tinggal lebih masa.
Berdasarkan laporan dua tahun lalu terdapat lebih 300,000 warga China dan 200, 000 warga India yang tinggal lebih masa tidak dapat dikesan. Begitu juga dengan ratusan ribu lagi warga Indonesia, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan negara-negara Afrika.
Apa sudah jadi Malaysia? Saya rasa kedaulatan kita memang terhakis. Tiada makna kita berbangga menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 tahun baru- baru ini.
Saya juga sependapat dengan ramai lagi penulis Forum sebelum ini bahawa punca kepada masalah ini ialah kelemahan kerajaan dan pihak berkuasa.
Kita harus jujur mengakui hakikat ini. Maka dengan itu, saya menyokong cadangan supaya diadakan panel khas menyiasat segala kelemahan, kecuaian dan penyelewengan berkaitan kebanjiran pendatang.
Memang kita perlu siasat semua peringkat termasuk para pemimpin yang membuat pelbagai keputusan dan kelulusan. Jika ada sebarang kecuaian dan penyelewengan, hadapkan mereka ke mahkamah atau menuntut mereka meletak jawatan.
Siasatan juga harus ditumpukan kepada kelulusan membenarkan kemasukan para pekerja asing, diberikan dengan begitu mudah dan terlalu banyak.
Berdasarkan maklumat dalaman yang diterima, sememangnya aktiviti tersebut menawarkan wang panas dan keuntungan lumayan kepada pihak tertentu dan individu yang mendapat permit membawa masuk pekerja asing.
Pada pendapat saya, golongan ini sudah mengkhianati negara. Jangan biar rakyat bangkit. Jangan lupa pilihan raya semakin hampir.

Surat 3

DALAM isu kebanjiran pendatang asing khususnya yang berstatus haram, saya musykil dengan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Bahagian Keselamatan Negara (BKN). Saya tidak pasti sama ada wujud lagi agensi sedemikian.
Sebagai bekas pegawai kanan tentera yang baru bersara, saya merasakan kebanjiran pendatang asing ini sudah menjadi ancaman nombor satu negara.
Ia umpama bom jangka yang menanti ledakan dan hal ini sudah dibangkitkan beberapa kali kepada pihak berkenaan beberapa tahun lalu tetapi tiada sebarang tindakan konkrit.
Lalu saya hairan dan bertanya apa fungsi MKN dan BKN? Apakah agensi berkenaan memainkan peranan sebenar menasihati kerajaan dalam hal begini.
Saya pernah membuat kajian untuk kertas sarjana saya dan sesungguhnya Malaysia merupakan negara paling mudah dimanipulasi warga asing.
Saya bimbang jika sesuatu tidak dilakukan segera Malaysia akan menjadi negara paling fragile.
Jika ini berlaku, ia mencerminkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini tidak putus-putus diberikan sokongan oleh rakyat.
Kerajaan yang gagal menangani soal keselamatan dan ancaman kepada kerajaan berdepan dengan kemungkinan ditolak oleh rakyat sebagaimana berlaku di beberapa negara.
Saya berharap kepada kerajaan dan pihak berkuasa, janganlah ambil mudah soal ancaman kebanjiran pendatang asing.
Kepada para pemimpin turunlah padang, lakukan lawatan mengejut atau menyamar, barulah anda ketahui hakikat sebenar. Bersediakah anda semua dipertanggungjawabkan kemudian hari?

Forum - Utusan Malaysia 17 Oktober, 2007

No comments: