Kami bawa anda mendekati, mendalami dan menghayati isu-isu dan fakta terkini.
PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
20071025
13. KAJI KEMASUKAN WARGA ASING
SURAT 1
MALAYSIA merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan sistem terbuka untuk warganegara asing masuk ke negara ini. Ini termasuklah dengan mewujudkan visa ketibaan (VOA) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada September 2006.
Tujuan kerajaan mengamalkan dasar ini, kononnya bertujuan menggalakkan pelancong-pelancong asing datang ke Malaysia dan secara langsung negara akan mendapat tourist dollar.
Selain itu, adalah menjadi dasar kerajaan untuk membenarkan pekerja-pekerja asing masuk ke negara ini bertujuan untuk mendapatkan pekerjaan dan bekerja di sektor-sektor seperti pembinaan pembuatan, perkilangan, perladangan dan pembantu rumah.
Negara ini turut terdedah kepada kemasukan pendatang asing secara haram (PATI). Kebanyakan daripada mereka datang bertujuan untuk mencari rezeki. Tidak kurang juga ada di antara mereka melakukan kegiatan jenayah besar dan kecil. Adalah dianggarkan lebih daripada dua juta warganegara asing (halal dan haram) sedang berada di negara ini.
Tidak dinafikan, kehadiran warganegara asing ini telah mendatangkan faedah terutamanya untuk mempertingkatkan bidang ekonomi dan pelancongan negara kerana mereka bekerja di sektor-sektor ekonomi di samping membawa masuk wang asing ke negara ini melalui sektor pelancongan.
Di sebalik keuntungan tersebut, kebanjiran pendatang asing ini telah, sedang dan akan mendatangkan banyak implikasi negatif terutamanya di bidang keselamatan dan juga kesejahteraan rakyat di negara ini.
Saban hari, kita didedahkan dengan pelbagai laporan mengenai kebiadaban pendatang-pendatang yang melakukan jenayah dan saban hari juga kita didedahkan dengan laporan yang memperkatakan tentang peluang pekerjaan rakyat tempatan yang telah dimonopoli oleh pendatang- pendatang asing ini.
Ini ditambah pula dengan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk menanggung makan minum warga asing yang tidak dituntut oleh ejen dan majikan mereka setelah mereka terkandas atau ditangkap oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, kita berasa hairan, mengapa pihak kerajaan tidak melakukan kajian yang menyeluruh yang meliputi keperluan dan kepentingan negara dan rakyatnya sebelum membenar dan membiarkan pendatang-pendatang asing membanjiri negara ini.
Sebagai contoh Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam isu ini, telah melahirkan kekecewaan beliau terhadap permasalahan yang dihadapi oleh Jabatan Imigresen untuk mengurus dan melaksanakan tugas mereka, disebabkan campur tangan beberapa kementerian, jabatan dan juga agensi lain yang berkepentingan.
Persoalannya di sini, mengapa perkara-perkara sedemikian tidak dibincang dan diselesaikan di peringkat Kabinet sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan kerana ia melibatkan kementerian yang berlainan?
Beliau juga tidak perlu mendedahkan kepincangan ini melalui media walaupun perkara berkenaan adalah serius dan benar-benar berlaku.
Adalah disarankan kerajaan melihat kembali segala dasar yang melibatkan kemasukan warga asing, halal dan haram, atas nama kemajuan dan pembangunan. Ia juga dikhuatiri akan menjadi punca permasalahan kepada keselamatan negara dalam jangka panjang.
SURAT 2
SAYA tertarik dengan berita muka hadapan Utusan Malaysia tanggal 16 Oktober 2007 kemasukan pendatang asing sejumlah 1,600 sehari mengikut rekod seperti mana yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G. Rajasekaran.
Amat jelas fakta ini bukan lagi membimbangkan rakyat Malaysia malah jumlah tersebut mengancam hak rakyat amnya.
Sama ada fakta jumlah ini tepat atau tidak bukan menjadi pokok masalah tetapi kita harus fikirkan mengapa dan kenapa terjadi. Di mana silapnya sistem pengurusan negara yang dianggap telus bersih, cekap dan amanah.
Antara sedar atau tidak pemimpin atasan, negara kita, Malaysia kini dihuni ramai pendatang pelbagai negara antaranya Indonesia, Thailand/ Siam (Pattani), India, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Vietnam, Pakistan, China, Afrika dan Sri Lanka.
Cuba kita amati lambakan pendatang Myanmar di Pasar Borong Selayang sementara pendatang Aceh/Indonesia di Pasar Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, di Kampung Jawa Klang. Apakah status mereka yang sebenar, sebagai pendatang pelarian atau peniaga?
Tidak cukupkah anggota petugas penguat kuasa yang ada di negara kita seperti polis, imigresen, kastam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Rela menjalankan amanah mereka? Andai kata teramat payah serahkan saja kawalan dan penguatkuasaan kepada askar (Angkatan Tentera Malaysia).
Bukan menuduh dan menuding jari kepada sesiapa tetapi sampai bila Malaysia akan menerima kemasukan pendatang asing? Mereka bermaharajalela menjalankan perniagaan tanpa mengira hak rakyat tempatan.
Ini dikuatkan lagi pendatang di bawah badan tertentu menubuh persatuan untuk membantu perihal pembelaan, walhal Malaysia juga mempunyai banyak masalah dalaman yang harus diselesaikan dan diperbetulkan.
Sebagai contoh masalah kita sendiri dalam siri Bersamamu siaran TV3, masih ada kecacatan di negara sendiri dan bila ditanya pemohon tidak melalui saluran yang betul. Inilah sikap birokrasi tanpa pedulikan kesusahan orang lain. Jangan terhantuk baru tengadah.
Apakah kita tidak nampak atau sengaja sembunyikan gajah depan mata dan membiarkan kera di hutan disusukan dan anak di rumah mati tak makan. Mana segala janji pada Perhimpunan Agung UMNO yang bersemangat setiap tahun untuk membela rakyat khususnya orang Melayu.
Sebenarnya kita mula terjajah di negara sendiri.
Pendatang berniaga tanpa lesen dan cukai sedangkan rakyat sendiri berniaga nasi lemak tepi jalan pun dikenakan pelbagai syarat dan jika syarat tidak dipatuhi kerusi meja dan segala dagangan diangkut oleh pihak berkuasa tanpa simpati.
Fikirkan apa akan terjadi kepada nasib kita apabila 2020 menjelang.
SURAT 3
SAYA merujuk kepada isu pendatang asing. Pada pandangan saya kerajaan harus bertindak sebelum terlambat.
Rakyat tempatan tidak memilih pekerjaan. Contoh yang paling ketara di kilang-kilang banyak pekerja tempatan dibuang kerja secara halus dan tempat mereka diganti dengan pekerja asing.
Ini amat ketara di kilang-kilang seluruh Malaysia. Mereka mendakwa kononnya walaupun mereka mengiklankan jawatan kosong di akhbar tetapi tiada sambutan daripada rakyat tempatan – satu pembohongan paling ketara.
Mereka mengiklankan jawatan kosong hanya untuk memenuhi syarat kerajaan sedangkan setiap rakyat tempatan yang memohon, permohonan mereka tidak dilayan.
Yang paling melucukan ada juga di kilang-kilang yang mengambil kakitangan pentadbiran daripada warga Filipina.
Saya berani berkata demikian kerana suami saya pernah mengalaminya. Beliau sudah puas bertanya dari satu kilang ke kilang tetapi kononnya tiada jawatan kosong terutama untuk lelaki walaupun kain rentang baru saja diletakkan semalam.
Akhirnya beliau hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli-belah. Kilang-kilang di Malaysia lebih mengutamakan pekerja asing sedangkan banyak rakyat kita yang masih menganggur bukan kerana memilih pekerjaan tetapi memang pihak kilang kebanyakannya menutup peluang pekerjaan tersebut pada rakyat tempatan.
Di sini saya ingin menyeru kerajaan supaya memantau kilang dan jumlah pekerja asing mereka. Tindakan tegas dari kerajaan amatlah diharapkan agar rakyat tempatan mendapat peluang yang sepatutnya.
Petikan: Forum - Utusan Malaysia 22 Oktober 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment