PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080511

Bersara wajib 58 tahun

Abdullah bersalaman dengan anggota Cuepacs sambil diperhatikan Presiden Cuepacs, Omar Osman (kanan) selepas majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2008 Sektor Awam, di PICC

Kerajaan perkenal insentif baru penuhi sebahagian tuntutan Cuepacs: PM

Had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun mulai 1 Julai ini, manakala pencen pula akan dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2009. Selain itu, kerajaan turut bersetuju menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan juga mulai 1 Januari depan dan menambah baik ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dari segi kaedah pelaksanaannya dari semasa ke semasa.


Ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di sini semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata insentif berkenaan adalah sebahagian daripada tuntutan Cuepacs sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, insentif lain ialah bagi pegawai kerajaan yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris, kerajaan bersetuju membayar pemberian sekali atau ex-gratia, bukan pencen terbitan kepada ibu atau bapa kakitangan berkenaan.

"Bagi tuntutan Cuepacs lain termasuk kadar imbuhan tetap perumahan dan penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan tetap, ia masih dalam penelitian kerajaan dan akan diumumkan selewat-lewatnya pembentangan Bajet 2009," katanya.


Majlis perhimpunan sempena Hari Pekerja yang bertemakan 'Sektor Awam Cemerlang Negara Gemilang' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dihadiri kira-kira 3,000 kakitangan awam. Perdana Menteri diberi tepukan gemuruh oleh hadirin sebaik mengumumkan insentif itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; Presiden Cuepacs, Omar Osman dan beberapa Menteri Kabinet. Mengenai umur persaraan yang dilanjutkan, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kadar jangka hayat di kalangan rakyat.

"Berdasarkan kajian kerajaan, pelaksanaan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada graduan baru. Ini penting supaya penjawat awam generasi muda tidak berasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya semakin tipis, malah sebaliknya ia kian bertambah baik," katanya.


Berhubung pencen yang dihitung mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, Perdana Menteri berkata sebelum ini pencen pegawai perkhidmatan awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.

Katanya, dasar baru itu juga meliputi persaraan dan kematian dalam perkhidmatan sebelum tarikh kuat kuasa, tetapi kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan.

"Kedua-dua dasar baru mengenai pencen ini akan membabitkan belanja tambahan RM718 juta setahun dan memberi manfaat kepada kira-kira 310,000 pesara dan penerima pencen," katanya.

Mengenai PTK pula, Abdullah berkata sebenarnya sejak 2003 kerajaan sudah menambah baik pelaksanaannya, termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan.

Perdana Menteri berkata, tahun ini kerajaan bersetuju membuat beberapa penambahbaikan seperti tidak menggunakan kaedah ujian bertulis untuk PTK bagi pegawai Gred 1 hingga 16 dan kaedah lain akan ditentukan oleh Lembaga Penilaian Kompetensi Kementerian, negeri dan agensi sebagai ganti.

Bagi pegawai gred lain pula, katanya, kaedah yang sedang dilaksanakan akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata, dengan penghapusan syarat penyusutan pencen terbitan pula bermakna waris kakitangan awam yang meninggal dunia akan dibayar 100 peratus pencen berkenaan yang kadarnya sebelum ini disusutkan kepada 70 peratus selepas 12 setengah tahun kakitangan terbabit bersara atau meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil ketika kematian gemulah (simati), syarat ini agak membebankan daripada segi kewangan.

Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan ini. Abdullah turut meminta kakitangan sektor awam terus meningkatkan kecekapan dan bertindak pantas dalam membuat keputusan supaya perkhidmatan awam dihormati bukan saja oleh rakyat negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Katanya, perkhidmatan baik dan pantas akan juga dapat menarik pelabur yang sentiasa mahukan layanan yang efisien kerana jika tidak, Malaysia akan ketinggalan.

INFO: INSENTIF BARU KAKITANGAN AWAM

1. Umur persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008.

2. Penambahbaikan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dari segi kaedah pelaksanaan.

3. Pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia mulai 1 Januari 2009.

4. Bayaran pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2009.

5. Ibu atau bapa kakitangan awam meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia.

FAKTA NOMBOR Insentif baru pencen

RM718j - Perbelanjaan

310,000 - Pesara dapat manfaat


1 comment:

Anonymous said...

Walaupun terlambat PM bersetuju kepada tuntutan Cuepacs, masih ada ruang bagi PM mengambil hati kakitangan kerajaan, iaitu memberi Bonus pada pembentangan Bajet 2009 nanti. Ingatlah, pemberian Bonus bukan nya membuat mereka kaya tetapi setakat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak anak mereka. Kesan tidak memberi bonus pada Bajet lalu ternyata banyak kakitangan menumpu perhatian kepada `Along' akibatnya mereka kini terikat dengan hutang dan pada pilihan raya lalu mengundi pembangkang kerana terluka perasaan. Perihatin lah Abdullah Badawi!!