Kerajaan memberi jaminan akan memastikan stok penimbal beras negara sentiasa mencukupi melalui beberapa langkah persediaan awal yang diambil termasuk menambahkan jumlah import.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Menteri Pertanian, Datuk Mustapa Mohamed telah berunding dengan Thailand yang bersetuju menambahkan jumlah eksport mereka.
''Langkah menambahkan stok penimbal beras penting kerana kalau tak beli sekarang harganya mungkin naik pada masa depan.
''Selain itu ia juga bagi mengelakkan kemungkinan negara pengeksport tidak lagi mahu mengeksport kerana mereka juga memerlukan untuk bekalan dalam negara,'' katanya
Kira-kira 30 peratus daripada keperluan beras negara bergantung pada import dengan sebahagian besar bekalan diperoleh dari Thailand.
Ia melibatkan jumlah import sebanyak 480,000 tan metrik setahun dari Thailand manakala bekalan selebihnya dari negara seperti Vietnam dan India.
Dunia kini berhadapan krisis bekalan makanan termasuk beras akibat beberapa faktor termasuk pengeluaran yang berkurangan selain harga yang melonjak akibat kenaikan kos pengeluaran.
No comments:
Post a Comment