PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080521

Ikrar setia pada PM - Ahli-ahli Parlimen UMNO mahu Abdullah terus terajui parti, negara

20 Mei – Ahli- ahli Parlimen UMNO berikrar akan terus kekal dalam parti dan setia dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui parti dan negara.

Mereka memberi jaminan tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar daripada UMNO semalam.

Ikrar ini dilafazkan dalam pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu menyaksikan beberapa ahli Parlimen berucap dengan mereka sepakat menegaskan bahawa tindakan Dr. Mahathir itu bukanlah satu isu.

Kata beliau, berikutan itu mereka memberi jaminan akan terus berkhidmat bersama UMNO dan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Abdullah untuk memimpin UMNO, Barisan Nasional (BN) dan negara.

‘‘Malah Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mewakili yang hadir bangun memaklumkan bahawa tidak ada dalam pengetahuan akan ada dalam kalangan mereka yang akan meninggalkan parti bersabit dengan gesaan Dr. Mahathir.

‘‘Sebaliknya mereka mengulangi ikrar kepada Perdana Menteri bahawa ‘kami tidak akan tinggalkan UMNO sebaliknya akan terus tinggal dalam UMNO’,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, pertemuan tersebut dihadiri kira-kira 95 peratus daripada ahli Parlimen UMNO termasuk kebanyakan anggota Kabinet.

Namun Mohamed Nazri tidak pasti secara tepat sama ada pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Mukhriz (BN-Jerlun).

‘‘Kita tak catit kehadiran pula, mencari siapa yang hadir, siapa yang tak hadir.

“Mengenai Mukhriz, dia juga Ahli Parlimen UMNO jadi tak perlulah hendak meletakkan beliau seolah-olah kita semua marah kepada dia, kita tak diskriminasi sesiapa,” ujarnya.

Sementara itu, Nazri memaklumkan pertemuan tersebut turut mencapai kata sepakat untuk menghidupkan semula Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) yang pada penggal lalu tidak diaktifkan.

“Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi.

“Kewujudan kumpulan ini penting kerana ada perkara yang menyentuh tentang UMNO sahaja seperti mana dalam isu hari ini (berhubung gesaan Dr. Mahathir),” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, isu Dr. Mahathir sebenarnya bukan agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut.

Menurut beliau, kesemua ahli Parlimen yang mewakili UMNO faham bahawa keputusan Dr. Mahathir itu merupakan hak beliau dan mereka menghormatinya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, walaupun Dr. Mahathir banyak berjasa kepada parti tetapi sudah menjadi kebiasaan pemimpin utama UMNO meninggalkan parti selepas bersara.

‘‘Walaupun kita berasa sedih dengan tindakan Dr. Mahathir tetapi kita akan tetap bersama-sama menyokong kepimpinan Abdullah,” katanya.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan dan juga BN.

‘‘Sebagai wakil rakyat dari UMNO, kita akan tetap berada dalam parti dan setia bersama parti. Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri tadi, kita hanya bincangkan selama lima minit sahaja isu Dr. Mahathir,” ujarnya.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata, ahlia-ahli Parlimen UMNO dari Sabah turut menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Abdullah.

‘‘Tidak semestinya dalam sidang Dewan Rakyat kita lantang bersuara bermakna kita mahu lompat parti atau tidak menyokong BN.

‘‘Kita bersuara kerana mahu menyampaikan masalah rakyat. Itu sahaja. Kepimpinan Presiden parti tetap kita sokong. Apa yang kita dapat lihat dalam perjumpaan tadi ialah Perdana Menteri sangat terbuka dan menerima pendapat dan cadangan setiap ahli Parlimen,” ujarnya.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, kesemua ahli Parlimen UMNO yang menghadiri mesyuarat itu meminta Perdana Menteri selaku Presiden parti untuk terus memimpin UMNO.
‘‘Perdana Menteri turut berkata dalam mesyuarat itu, sebagai ahli UMNO, Dr. Mahathir tidak seharusnya bertindak demikian.

Bagaimanapun, kami semua menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Abdullah,” katanya.

No comments: