26 Mei - Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.50 peratus.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM menyatakan ekonomi terus menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh suku pertama 2008, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Ia berkata, walaupun eksport barangan elektrik dan elektronik telah berkurangan, eksport bersih terus mapan, disokong oleh eksport komoditi dan barangan perkilangan berasaskan sumber yang lebih kukuh.
"Bagaimanapun, sekarang ini terdapat bukti tanda-tanda yang lebih jelas pertumbuhan ekonomi utama dunia menjadi perlahan. Pertumbuhan ekonomi yang sederhana ini dijangka akan memberi kesan terhadap ekonomi serantau termasuk Malaysia pada separuh kedua tahun ini," katanya.
BNM menyatakan meskipun terdapat petunjuk pertumbuhan global yang perlahan, harga komoditi dan makanan meningkat secara berterusan.
Ia berkata, harga minyak telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan inflasi harga pengguna dalam negeri meningkat kepada tiga peratus pada April 2008 dan didorong terutamanya oleh harga makanan yang lebih tinggi.
"Terdapat risiko peningkatan yang kukuh bagi inflasi global disebabkan harga makanan dan tenaga yang terus tinggi.
"Sementara tekanan sebegitu dijangka akan menurun sekiranya pertumbuhan global menjadi sederhana, tekanan harga dalam negeri dijangka berterusan dalam tempoh terdekat," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment