Malaysia berkeyakinan mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima hingga enam peratus disebabkan pengurusan ekonomi yang berhemat, tanpa perlu mempunyai satu pelan rangsangan ekonomi, kata Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Katanya, negara sudah mencapai satu pertumbuhan menggalakkan bagi suku tahun pertama 2008 yang melepasi angka sasaran awal antara lima hingga enam dari KDNK.
“Untuk suku pertama kita mencapai lebih dari anggaran itu, semua sektor menunjukkan prestasi yang baik, termasuk sektor pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan yang menunjukkan pertumbuhan yang positif.”
“Pada masa ini, kita akan menguruskan langkah untuk menjana ekonomi tetapi tidak memerlukan satu pelan yang khusus sebab kita bukan dalam keadaan lembab...kita berada dalam trend pertumbuhan, saya sangat positif kita akan mencapai sasaran lima hingga enam peratus berasaskan dengan dasar yang kita ambil dan laksanakan menerusi pengurusan berhati-hati dan berhemat ekonomi kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri penyampaian anugerah kecemerlangan kementerian itu di sini hari ini.
Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa ekonomi berkembang pada kadar tahunan lebih cepat dari yang dijangka 7.1 peratus dalam suku tahun pertama, yang dirangsang oleh permintaan domestik dan eksport.
“Kita memang dapat memperolehi satu kadar pertumbuhan yang memberangsangkan (dan) kita memang gembira 7.1 peratus (pada suku tahun pertama) walaupun pada awal tahun kita memaklumkan bahawa kadar pertumbuhan 2008 dianggarkan di antara lima hingga enam peratus," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment