12 Mei – Ketika kebanyakan negara dunia mengalami kenaikan harga makanan secara mendadak ekoran krisis bekalan, kerajaan hari ini sebaliknya membuat keputusan mengekalkan harga kawalan beras Super Tempatan 15 peratus antara RM1.65 sekilogram hingga RM1.80 sekilogram yang ditetapkan mengikut zon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, selain meneruskan status beras hancur 15 peratus sebagai barang kawalan yang banyak digunakan oleh sebahagian besar rakyat, kerajaan juga membuat keputusan untuk menetapkan harga siling beras Super Special Tempatan (SST) lima peratus dan SST 10 peratus.
Sebelum ini, kedua-dua beras gred itu tidak dikenakan kawalan harga.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Abdullah memberitahu, bagi beras SST lima peratus, harga siling yang ditetapkan ialah RM2.80 sekilogram manakala harga siling SST 10 peratus ialah RM2.70 sekilogram.
Kedua-dua harga siling itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.
Keputusan tersebut dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Abdullah di Parlimen hari ini.
Selepas mesyuarat itu, Abdullah mengeluarkan kenyataan yang menggariskan lima tindakan komprehensif bagi menangani isu kenaikan harga padi dan beras.
“Pihak jawatankuasa juga telah membuat ketetapan untuk mengapungkan harga beras import termasuk beras putih Thai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan turut membenarkan pemindahan padi di antara negeri-negeri secara berperingkat selain bersetuju menaikkan Harga Minimum Terjamin (HMT) padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik,’’ katanya.
HMT pada paras RM750 setan metrik kini ialah harga terendah padi yang dijamin oleh kerajaan.
Kerajaan sebelum ini melarang penjualan padi antara negeri-negeri.
Pada masa lepas, padi yang dihasilkan di Selangor, misalnya, hanya dibenarkan dijual di Selangor. Walaupun ada kilang padi dari Kedah ingin membeli padi seseorang pesawah dari Selangor pada harga lebih tinggi, ia tidak dibenarkan.
Dasar itu akan dihapuskan secara berperingkat-peringkat.
Berhubung kenaikan harga HMT padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik yang menguntungkan petani, Perdana Menteri berkata, ia wajar dinaikkan ke paras lebih tinggi untuk faedah pesawah-pesawah padi berikutan kenaikan harga beras.
“Pemindahan padi antara negeri-negeri juga perlu dikaji bagi menjadikan harga jualan padi lebih kompetitif dan dapat membantu menambah pendapatan pesawah-pesawah,’’ tambah beliau.
Berdasarkan rekod Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, harga beras ST 15 peratus pada tahun lalu hanyalah RM1.52 sekilogram berbanding harga pada ketika ini antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram.
Harga beras SST lima peratus pada tahun lalu pula adalah RM1.95 sekilogram sementara harganya ketika ini mencecah sehingga RM3.26 sekilogram.
Justeru, langkah kerajaan menetapkan harga SST lima peratus pada paras RM2.80 sekilogram adalah 46 sen lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri turut menjelaskan mengenai implikasi lima langkah khusus yang diambil oleh kerajaan untuk menangani harga padi dan beras.
Katanya, apabila kesemua langkah itu diambil, kerajaan terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta sebagai subsidi untuk pengimportan 500,000 tan beras bagi memastikan harga runcitnya di negara ini dapat dikekalkan.
Beliau berkata, langkah-langkah yang diputuskan itu berkuat kuasa serta-merta kecuali penetapan harga siling bagi beras SST lima peratus dan SST 10 peratus.
“Keputusan yang diambil oleh jawatankuasa hari ini adalah berasaskan kepada kepentingan semua pihak dengan bermatlamatkan kebajikan pengguna dan pesawah padi terpelihara.
“Dengan cara ini sahaja kerajaan dapat meringankan beban pengguna ketika harga barangan semakin meningkat,’’ katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui kenaikan harga beras di pasaran dunia telah memberi tekanan kepada harga padi dan beras di Malaysia.
“Harga beras di pasaran dunia naik mendadak berbanding tahun lalu. Harga beras putih Thai lima peratus telah meningkat sebanyak 164 peratus iaitu daripada AS$371 setan metrik (2007) kepada AS$980 setan metrik pada ketika ini.
“Beras putih Vietnam pula telah naik sebanyak 212 peratus iaitu daripada AS$352 pada tahun lalu kepada AS$1,100 setan metrik pada tahun ini,’’ katanya lagi.
Mengenai langkah menetapkan harga siling beras SST lima peratus dan 10 peratus, Abdullah memberitahu, harga kedua-dua beras gred itu telah naik mendadak kerana kerajaan tidak mengenakan kawalan harga ke atas beras gred tersebut.
“Kerajaan hanya mengawal beras ST 15 peratus tetapi isunya sekarang berlaku kekurangan bekalan di pasaran kerana pengilang lebih berminat untuk mengeluarkan SST lima peratus dan 10 peratus.
“Keadaan itu memerlukan kerajaan bertindak segera bagi memastikan bekalan beras ST 15 peratus mencukupi dan pada masa sama membendung kenaikan berterusan harga beras SST lima peratus dan 10 peratus,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment