Beberapa pertubuhan guru dan ibu bapa bersetuju dengan saranan supaya murid perempuan yang melakukan kesalahan disiplin berat di sekolah boleh dirotan kerana yakin ia dapat membantu menangani masalah disiplin di kalangan murid sekolah.
Yang Dipertua Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, berkata langkah itu perlu kerana realitinya murid perempuan di sekolah tidak terkecuali melakukan kesalahan yang memerlukan bentuk hukuman setimpal.
“Tidak perlu dibeza-bezakan antara murid perempuan atau lelaki kerana setiap kesalahan dilakukan perlu dikenakan hukuman setimpal, termasuk merotan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Seminar Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) Peringkat Kebangsaan 2007 yang berlangsung tiga hari di Kajang berakhir kelmarin menyarankan murid perempuan yang terbabit melakukan kesalahan disiplin berat di sekolah boleh dikenakan hukuman rotan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar pada sidang media selepas menutup seminar itu pula berkata, setakat ini murid perempuan yang melakukan kesalahan disiplin berat hanya diambil tindakan gantung atau buang sekolah.
Mohamad Ali yakin Kementerian Pelajaran akan meneliti semua aspek sebelum menguatkuasakannya dan pihaknya bersedia membantu mencari kaedah pelaksanaan terbaik.
Yang Dipertua Majlis Gabungan Guru Besar Malaysia, Zamzuri Zakaria, pula berkata apa juga tindakan guru, termasuk merotan bertujuan mendidik.
“Merotan tidak harus dijadikan amalan hukuman di sekolah dan ia hanya dilaksanakan sebagai pilihan terakhir berdasarkan garis panduan disediakan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah-sekolah Menengah Malaysia, Azam Md Atan mengakui cadangan merotan murid perempuan itu perlu kerana masalah disiplin mereka juga tidak kurang hebatnya.
Beliau yang tidak menafikan ada kes disiplin berat membabitkan murid perempuan termasuk merokok dan ponteng sekolah, berkata ada kala pihak sekolah serba salah dan sukar menentukan bentuk hukuman setimpal kerana tiada peraturan atau hukuman khas untuk mereka.
“Keadaan ini juga menyebabkan pelajar terbabit lebih berani dan berasa kebal walaupun melakukan pelbagai kesalahan kerana menganggap mereka tidak akan dihukum,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran wajar membuat pindaan terhadap peraturan disiplin murid sedia ada yang dianggap terlalu lama dan memerlukan perubahan besar dalam membantu semua pihak menangani masalah disiplin murid secara lebih berkesan.
Berita Harian 29/11/07
No comments:
Post a Comment