DIANGGARKAN sebanyak 39.5 juta orang di seluruh dunia hidup dengan virus HIV/AIDS. Pada tahun lalu sahaja, kira-kira 2.9 juta orang mati kerana AIDS di seluruh dunia.
HIV/AIDS merupakan salah satu cabaran kesihatan yang paling kronik dihadapi oleh dunia hari ini. Di Malaysia, sebanyak 76,389 kes HIV positif dilaporkan sejak tahun 1986 dan 9,155 daripadanya telah meninggal dunia akibat HIV/AIDS.
Peningkatan bilangan kes yang semakin membimbangkan ini tidak dapat ditampung lagi oleh bilangan doktor yang ada bagi membantu dan merawat pesakit HIV/AIDS.
Kebimbangan terhadap peningkatan kes telah mendorong syarikat farmaseutikal Merck Sharp & Dhome (MSD) Malaysia berkerjasama dengan Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MaSHM) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) bagi mengadakan program Bermula Dengan Anda.
Menurut Pengarah MSD Malaysia, Ewe Kheng Huat, program itu dilancarkan untuk memenuhi keperluan menambah nisbah pakar perubatan dengan pesakit.
“Program ini akan melibatkan pelajar jurusan perubatan bagi menggalakkan mereka meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai cabaran berkaitan kes HIV/AIDS di negara ini.
“Melalui program ini, pihak penganjur berharap penglibatan para pelajar akan merapatkan jurang-jurang yang dibina melalui tanggapan orang ramai dan pesakit sendiri mengenai HIV/AIDS,’’ katanya
Sementara itu, Presiden MaSHM, Dr. Christopher Lee berkata, sudah banyak program dilakukan sejak tahun 1986 untuk menangani isu HIV/AIDS di negara ini, namun mengubah persepsi dan ragam pemikiran pesakit, masyarakat dan ahli profesional tentang stigma dan diskriminasi terhadap HIV/AIDS menjadi penghalang kepada usaha menghadapi cabarannya.
“Melalui program yang direncana, kami berharap mampu menangani isu tersebut dengan penglibatan pelajar jurusan perubatan daripada peringkat awal lagi.
“Tanpa sokongan para pelajar, perjuangan menentang HIV/AIDS pada tahun-tahun akan datang tidak akan berjaya,’’ ujarnya.
Presiden MAC, Dr. Adeeba Kamarulzaman memberitahu, stigma dan diskriminasi terus menghalang pesakit daripada menampilkan diri bagi mendapatkan rawatan dan sokongan.
“Tanpa rawatan, pesakit akan menjadi terasing dan takut, tidak berpengetahuan dan gagal mendapat galakan bagaimana cara mengurus penyakit tersebut.
“Sungguhpun kemajuan daripada segi rawatan dan pendidikan, bilangan pesakit terus meningkat dan kes-kes baru didiagnosis setiap hari.
“Kemajuan diagnostik dan terapeutik perubatan HIV wajar disusuli dengan kemajuan yang sama dari segi semangat kemanusiaan dan komitmen semua pihak,’’ katanya.
Program Bermula Dengan Anda telah dimulakan pada tahun 2005 dengan menggabungkan kepakaran dan penglibatan MSD, MaSHM dan MAC, pelajar jurusan perubatan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
Program perintis pada tahun 2005 adalah agenda ringkas yang bertujuan mendidik pelajar perubatan tentang senario HIV/AIDS terkini.
Pada tahun lalu, program tersebut telah dikembangkan untuk tinjauan lebih meluas dan seimbang, merangkumi perspektif rawatan, penglibatan organisasi bukan kerajaan dan pengalaman pesakit.
Bagi tahun ini, program bermula pada 24 November lalu menjurus kepada pertandingan fotografi di kalangan pelajar dari universiti-universiti yang turut serta bertemakan Hentikan AIDS:Kotakan Janji.
Para pemenang akan menerima hadiah wang tunai, plak dan pendaftaran untuk menghadiri Persidangan AIDS Kebangsaan Malaysia yang pertama kali diadakan sempena Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember akan datang.
Penyertaan yang memenangi pertandingan akan dipamerkan di persidangan tersebut dan kempen dijangka akan menarik 300 pelajar jurusan perubatan dari IMU, UPM dan Pusat Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM).
No comments:
Post a Comment