PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071101

1. Masukkan kreativiti, elemen seronok dalam proses pelajaran

SISTEM pendidikan di Malaysia telah mengalami beberapa anjakan paradigma dalam usaha menyampaikan maklumat daripada pengajar kepada pelajar. Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 menuntut agar semua pihak berganding bahu untuk sama-sama merencanakan teras strategi PIPP ke arah membina negara bangsa; membangunkan modal insan; memperkasakan sekolah kebangsaan; merapatkan jurang pendidikan; memartabatkan profesion keguruan; dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Sekiranya semua elemen ini berjaya dilaksanakan dengan baik maka sistem pendidikan negara akan menjadi lebih dinamik dan akan melahirkan pelajarpelajar yang berkualiti dan berketerampilan serta mampu berdiri sama tinggi di peringkat antarabangsa.

Namun begitu, amaran oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kepada pelajar-pelajar sekolah supaya jangan ponteng sekolah dilihat sebagai sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara.

Pada 26 Julai 2006, sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, Noh Omar muncul dengan kenyataan bahawa Kementerian Pelajaran akan memperluaskan penubuhan Pasukan Petugas Antiponteng ke seluruh negara sebagai satu pendekatan baru untuk mengatasi gejala ponteng dan lepak di kalangan pelajar sekolah.

Keputusan tersebut diambil berikutan hingga kini pihak guru disiplin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa di bawah Ordinan Pelajaran 1957 untuk menahan pelajar ponteng atau lepak.

Isu ponteng di kalangan pelajar ini dengan nyata menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara sudah tidak menyeronokkan lagi disebabkan berorientasikan peperiksaan.

Hakikatnya, kepintaran serta kecerdasan setiap individu pelajar berbeza jika lemah akademik sekalipun mereka mempunyai kemahiran lain.

Kemahiran lain ini tidak semestinya dalam bidang akademik semata-mata tetapi melibatkan kecenderungan dalam bidang teknik, vokasional serta bidang seni dengan memberi penekanan kepada penyediaan pendidikan yang inovatif dan kreatif setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju.

Sistem pendidikan yang berkonsepkan kerjasama misalnya boleh dijadikan modul pengajaran di kalangan pelajar. Ini penting kerana logiknya, kesedaran bahawa keadaan di luar bilik darjah memerlukan lebih banyak aktiviti kolaboratif yang menggunakan kerja-kerja berpasukan dalam kehidupan seharian dan juga kesedaran tentang nilai interaksi sosial yang kreatif untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna.

Pelajar bekerja dalam kumpulan yang kecil dan yang lebih penting ialah tahap interaksi yang mendalam dan bersepakat, bertukar idea dengan pelajar lain bagi meningkatkan mutu pembelajaran yang bermakna dan mengekalkannya. Ini juga akan menggalakkan kemahiran berfikir dan interaksi secara kreatif antara pelajar. Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan melalui pembelajaran koperatif adalah seperti permainan, simulasi dan pembelajaran kemahiran.

Pada umumnya di negara-negara maju, konsep sistem pendidikan kreatif yang menitikberatkan emosi para pelajar agar sentiasa fokus kepada pengajaran dan pembelajaran dilihat membolehkan pelajar menjadi lebih bermaklumat, mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam, lebih berfikir serta pada masa yang sama menggalakkan budaya berfikir secara kritis dan kreatif serta lebih aktif mencari dan menguji ilmu serta menjalankan penyelidikan.

Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan harus diubah dengan memasukkan elemen kreatif dan menyeronokkan agar para pelajar tidak merasa bosan dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang mengabaikan unsur kekreatifan.

Langkah ini harus dilaksanakan jika hasrat yang terkandung dalam Misi Nasional dan penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menetapkan pembangunan modal insan yang memiliki minda kelas pertama hendak digapai. Harus diingat bahawa gagasan ini mungkin sukar atau tidak akan berjaya, sehinggalah pelajar digilap dengan elemen kreatif yang diselitkan dalam sistem pendidikan itu sendiri.


Petikan - Utusan Malaysia 31 Oktober 2007

No comments: