Projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dijangka mampu menyediakan lebih 560,000 peluang pekerjaan sehingga tahun 2020.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Romli Hassan berkata, jumlah itu adalah berdasarkan pasaran kerja melalui pelaksanaan 227 projek pembangunan di empat negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan utara Johor.
Sehubungan itu, katanya, JTM sedang merangka pelan tindakan khusus bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi menyokong keperluan modal insan dalam pelaksanaan projek- projek berkenaan.
Katanya, dua lagi zon pembangunan ekonomi di Semenanjung iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) juga memerlukan tenaga kerja yang ramai.
“Dengan rancangan yang diatur, JTM akan dapat meningkatkan lagi kapasiti latihan dan beberapa kursus baru akan diwujudkan bagi memenuhi keperluan pasaran masa kini,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Institut Latihan JTM Wilayah Utara di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 2,135 graduan menerima sijil dan diploma masing- masing meliputi beberapa kursus termasuk teknologi kejuruteraan, mekanik industri, teknologi pengeluaran, pembuatan, elektrikal dan jaminan kualiti.
Romli memberitahu, pelan tindakan tersebut juga meliputi pengenalan kursus-kursus baru termasuk teknologi maritim, penyelenggaraan kapal terbang, minyak dan gas, mikroelektronik dan hospitaliti.
Katanya, pengenalan kursus-kursus baru penting terutamanya dalam menyediakan keperluan guna tenaga dan menyokong Pelan Induk Perindustrian (PIP), sejajar dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan pelabur asing.
“Pada masa yang sama, saya percaya JTM mampu menyediakan keperluan guna tenaga untuk menjayakan pelaksanaan projek-projek di ketiga-tiga zon pembangunan ekonomi berkenaan,” tambahnya.
Beliau memberitahu, kerajaan juga sudah meluluskan cadangan untuk membina Institut Latihan Perindustrian di Tanjung Malim, Perak, Marang (Terengganu), Sungai Petani (Kedah) selain Pusat Teknologi Tinggi (ADTEC) di Jerantut (Pahang), Kemaman (Terengganu) dan Bintulu (Sarawak).
Komen: JANGAN BANYAK KERJA SEMAKIN BANYAK PEKERJA ASING
No comments:
Post a Comment