SEBAGAI remaja, kita perlu memupuk tabiat membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan, menajamkan pemikiran dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Tamadun Islam itu sendiri bertunjangkan budaya ilmu yang berpandukan petunjuk al-Quran dan sunah.
Ilmuwan Islam terdahulu menghidupkan budaya ilmu melalui kegiatan membaca, bermuzakarah serta penulisan.
Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ayat pertama surah al-Alaq ialah Iqra’ yang bermaksud Bacalah. Justeru Islam sendiri mengisyaratkan budaya membaca sebagai salah satu lorongan ke arah menuntut ilmu.
Terdapat remaja yang menyedari akan kebaikan membaca tetapi tidak mengamalkannya. Alasan yang diberikan adalah seperti ketiadaan minat membaca, sentiasa sibuk, halangan bahasa atau sebagainya. Maka persoalannya apakah kaedah yang boleh digunakan dalam usaha menyuburkan tabiat membaca.
Satu Buku Setiap Masa
Satu cara utama yang berkesan ialah dengan sentiasa membawa sebuah buku walau ke mana kita pergi. Apabila kita mempunyai masa senggang seperti ketika menunggu bas, buku tersebut boleh kita baca. Di samping mengisi masa, kita juga dapat menambah ilmu pengetahuan.
Tetapkan Matlamat Dalam Membaca
Kita boleh menetapkan matlamat dari segi berapa lama dalam sehari kita ingin membaca atau berapa banyak buku kita ingin membaca dalam sesuatu tempoh masa. Sebagai contoh kita boleh menetapkan matlamat untuk beristiqamah membaca sesebuah buku itu walaupun sekadar lima atau 10 minit sehari. Atau kita boleh meletakkan matlamat untuk menghabiskan pembacaan sebuah buku dalam sebulan.
Matlamat pembacaan tersebut haruslah mencabar tetapi realistik. Apabila tabiat membaca semakin bercambah, kita boleh menetapkan matlamat pembacaan yang lebih mencabar. Matlamat juga boleh ditulis di atas sehelai kertas dan ditampal di tempat yang mudah dilihat sebagai pencetus motivasi.
Pilih Buku Menarik Dan Bermutu
Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan, khasnya apabila buku tersebut adalah daripada genre yang diminati serta dapat difahami. Sekiranya buku tersebut begitu sukar difahami, kita mungkin cepat terasa jemu atau resah walaupun baru beberapa minit menatapnya.
Setelah kegiatan membaca telah menjadi tabiat, maka kita boleh memilih buku yang lebih mencabar. Namun sebagai permulaan, dapatkan buku yang buku yang sesuai dengan minat serta tahap kefahaman kita. Seperkara yang perlu diambil perhatian, buku yang dipilih perlulah mempunyai pengisian yang bermutu dan bukan sekadar bercorak picisan atau popular sahaja.
Melawat Perpustakaan, Kedai Buku
Perpustakaan atau kedai buku menyediakan pelbagai jenis buku daripada pelbagai genre. Remaja boleh menjadikan kegiatan mengunjungi perpustakaan atau kedai buku sebagai salah satu amalan mingguan.
Bagi remaja yang ke tempat tersebut, mereka boleh mengambil masa untuk mengimbas pelbagai buku di samping mencari buku dengan tajuk yang kelihatan menarik. Dengan mengimbas isi kandungan buku yang terpilih, remaja dapat mengenali pelbagai idea baru serta mendapat sebanyak mungkin maklumat.
Rumusan Buku Tugasan Pelajar
Para guru serta pensyarah boleh menugaskan pelajar mereka untuk membuat rumusan buku. Setiap pelajar boleh diberikan satu tajuk buku yang berbeza daripada yang diberi kepada pelajar-pelajar lain. Kemudian mereka boleh ditugaskan untuk membuat rumusan buku serta mengaitkannya dengan subjek diajar atau kehidupan seharian.
Melalui kaedah tersebut pelajar dapat didedahkan kepada bahan-bahan penulisan yang tinggi mutunya. Impaknya pelajar akan dapat mengenali lebih dekat serta dibiasakan dengan bahan ilmiah yang mencabar minda. Kelak diharapkan mereka dapat menemui keseronokan membaca bahan sedemikian dan akhirnya minat dan tabiat membaca dapat bercambah dengan sendirinya.
Tugasan mengaitkan buku yang dibaca dengan mata pelajaran diajar pula dapat melatih pelajar untuk berfikir secara kritis dan analitis. Maka ilmu yang didapati hasil pembacaan dapat dikembangkan lagi serta dapat diadaptasi dalam realiti kehidupan semasa. Hal ini turut dapat membantu menyelesaikan permasalahan pembelajaran yang bersifat teori yang kurang diminati oleh sesetengah pelajar.
Dalam usaha menyediakan senarai tajuk buku yang perlu dibaca oleh para pelajar, para guru juga perlu terlebih dahulu menelusuri buku-buku yang dicadangkan tersebut. Hal ini penting untuk guru tersebut bagi tujuan pemarkahan hasil kerja pelajar. Malah pada masa yang sama mereka juga dapat meningkatkan ilmu berkenaan subjek diajar lalu menyumbang ke arah pengajaran yang lebih berkesan serta menarik.
Kesimpulan
Saranan seperti di atas adalah sebahagian dari pelbagai lagi kaedah yang boleh dicuba ke arah meningkatkan tabiat membaca di kalangan remaja. Dengan menggunakan kreativiti sendiri, kita boleh memikirkan banyak lagi cara berguna yang boleh diaplikasikan untuk menanam tabiat membaca.
Namun sebanyak mana idea atau saranan bernas dapat dicetuskan tetapi seandainya tidak diikuti dengan tindakan, maka idea akan kekal menjadi idea dan kita akan terus kekal ditakuk lama tanpa ada perubahan. Justeru kepada para remaja, ayuh dapatkan sebuah buku sekarang dan jadikan ia teman setia anda!
No comments:
Post a Comment