Kerajaan tidak mahu negara berada dalam keadaan yang tidak bersedia menghadapi pelaksanaan harga sebenar minyak dan gas di peringkat domestik, sama paras dengan pasaran global.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, persediaan itu perlu dilakukan mulai dari sekarang bagi menghadapi keadaan sekiranya simpanan minyak negara terus berkurangan dan sistem subsidi sedia ada tidak lagi mampu bertahan.
Malaysia tidak boleh alpa dengan status pengeluar minyak sekarang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Penasihat Kewangan Islam KLIFF 2007 kedua, di sini hari ini.
Sebagai contoh, katanya, Indonesia sebuah negara anggota OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum) yang pernah menjadi antara pengeksport minyak terbesar, kini adalah pengimport bersih minyak.
(Harga minyak mentah global hari ini meningkat sebanyak AS$0.95 (RM3.21) kepada AS$94.79 (RM320.54) setong di pasaran hadapan New York.)
Jadi, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi masa depan dan jangan fikir sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia tidak perlu menaikkan harga minyak, katanya, sambil menyatakan sistem subsidi hari ini tidak lagi berdaya maju, tak berdaya tahan dan tidak boleh tahan.
“Adakah kita nak biarkan sahaja sampai masa itu datang dan kita tidak bersedia. Atau pun, kita membentuk satu sistem yang lebih berdaya maju, lebih berdaya tahan dan lebih menyerupai sistem di dunia,” katanya.
Menurut Awang Adek, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi subsidi sejumlah RM35 bilion, walaupun harga minyak di luar semakin melambung naik.
“Di dunia ini, tidak ada (negara yang memberi) subsidi sebanyak itu. Kita sahaja sudah (memberi subsidi) hampir RM40 bilion, kalau diambil kira harga minyak yang akan naik lagi,” katanya.
Awang Adek berkata, masyarakat sudah boleh menerima bahawa subsidi yang besar tidak boleh diteruskan kerana akan memberi kesan negatif kepada negara.
Petronas telah mengeluarkan subsidi hampir RM50 bilion untuk gas sahaja dalam masa 10 tahun lalu.
“Hari ini kita boleh bertahan kerana Petronas dapat bagi dividen. Tapi kita tahu hasil minyak dan gas ini tidak meningkat. Kita kena cari dan nak jumpa satu-satu (tempat yang mempunyai minyak) itu lambat. Tetapi permintaan penggunaan semakin meningkat,” katanya.
Bernama (Utusan Malaysia 20/11/07)
No comments:
Post a Comment