PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100306

Teknologi komunikasi sebagai medium kurangkan tekanan perasaan

Facebook boleh jadi bahan bagi proses pengajaran, pembelajaran pelajar elak suasana di dalam kelas membosankan

TIGA dekad lalu, kedai kopi atau restoran menjadi lokasi paling popular masyarakat untuk berjumpa, bersembang kosong atau berbincang mengenai pelbagai perkembangan dunia kehidupan dan pekerjaan.

Malah dengan hanya secawan kopi, mereka boleh duduk berjam-jam dengan rakan menyambung perbualan dengan meneroka pelbagai isu lebih serius, termasuk mengkritik atau mengutuk orang tertentu.

Namun zaman sudah berubah. Dengan kepesatan dan kecanggihan dunia internet melalui jaringan komunikasi maya, berbual di kedai kopi sudah berubah corak, iaitu menjadikan laman web sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster atau Myspace sebagai tempat bersembang yang kini sudah menjadi trend kerana lebih interaktif dan menyeronokkan.

Mereka yang celik teknologi maklumat (IT) masih dapat menghirup secawan kopi yang diletakkan di atas meja dengan tradisi bersembang, dilakukan di depan skrin komputer peribadi atau telefon bimbit dengan rakan.

Mania dan penangan terhadap Facebook, yang menjadi rangkaian laman sembang sosial paling popular selepas Myspace dan Twitter, Friendster dan Youtube, boleh dilihat di mana-mana saja. Tidak kira usia sehingga warga emas turut menjadikan Facebook sebagai pilihan, malah ada yang ketagihan hingga sanggup melekat di depan komputer tanpa mengira masa.

Kuasa Facebook itu yang mampu mengumpulkan rakan baru dan lama di seluruh dunia juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang tumpuan terhadap kerja di pejabat. Fenomena Facebook yang mula diperkenalkan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media untuk saling mengenal bagi mahasiswa di Universiti Harvard sudah menular di seluruh dunia dengan pelayar daripada pelbagai peringkat usia dan status.

Kini dianggarkan lebih 175 juta pelayar Facebook yang aktif di seluruh dunia dengan setiap hari ada saja yang mendaftar sebagai anggota baru dalam laman sembang sosial untuk berkongsi pelbagai pengalaman, gambar, maklumat dan mencetuskan idea mengenai sesuatu perkara.

Kewujudan Facebook dianggap sebagai satu terapi untuk mengubah landskap kehidupan seseorang lebih berwarna-warni dan bermakna, terutama mereka yang kesunyian apabila boleh dihubungkan terus seramai mungkin sekumpulan rakan baru dan lama untuk sama-sama menyertai laman mereka.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Saedah Siraj, mengakui teknologi komunikasi yang begitu pantas menjadi dunia ini semakin sempit apabila masyarakat mampu berinteraksi tanpa sempadan mengenai isu tertentu.

Setiap sesuatu penciptaan teknologi itu pasti ada implikasi positif dan negatif terhadap penggunaannya. Jika dulu bersembang dengan rakan hanya menerusi perjumpaan di lokasi tertentu atau menerusi talian telefon, kini interaksi boleh dilakukan dengan jaringan internet seperti Facebook.

Komunikasi dan perbualan dalam apa saja isu amat pantas seperti 'touch & go' dan tidak lagi kaku, sebaliknya lebih menarik dan menyeronokkan.

"Kemunculan Facebook bermula daripada perubahan teknologi. Dulu terkenal dengan laman web, laman blog yang dilihat masih kaku kerana perbualan dan pandangan tidak secara langsung, tetapi dengan facebook, mereka boleh mendapatkan maklum balas terhadap sesuatu pertanyaan, perbualan atau perbincangan dengan pantas.

"Apabila orang yang murung ini melayari Facebook, ia sebagai terapi yang baik untuk mengurangkan masalah kemurungan dan sunyi dengan tidak melakukan perkara buruk akibat kesunyian sehingga melakukan perkara negatif," katanya.

Beliau berpendapat, rakan dalam Facebook boleh mententeramkan seseorang yang berdepan dengan sesuatu masalah, kesunyian, sugul atau murung dengan berbual bersama mereka secara langsung.

Selain itu, ketegangan fikiran seseorang juga mampu dilonggarkan dengan Facebook kerana ia mampu memberi maklum balas serta-merta, termasuk menghantar gambar atau Youtube berbentuk hiburan yang boleh dikongsi rakannya.

Berbanding bersembang di kedai kopi, ia disifatkan agak terhad untuk mententeramkan seseorang menerusi kata-kata. Penggunaan perkataan tidak begitu meluas dengan nasihat sama. Ini tidak kepada Facebook yang bukan sekadar kata-kata, malah pelbagai bentuk saluran boleh dikemukakan.

"Mereka yang celik Facebook, masih boleh bersembang berjam-jam secara online dan di tepi mejanya ada secawan kopi seperti dilakukan pada zaman tradisi berjumpa rakan di kedai kopi.

"Saya percaya dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, pemilik kedai kopi akan menyediakan komputer peribadi untuk kemudahan orang ramai melayari internet, berbanding kini, trend orang ramai membawa sendiri komputer peribadi sambil minum kopi dan makan," katanya.

Beliau yakin dengan prinsip yang baik, Facebook mampu menjadi medium terbaik untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi, meningkatkan percambahan fikiran, merangsang persekitaran yang baik kerana penembusan menerusi pengumpulan rakan dalam laman sosial itu adalah merentasi dunia tanpa sempadan.

Dalam bidang pendidikan, Facebook juga boleh dijadikan bahan bagi proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar supaya suasana di dalam kelas tidak membosankan.

Dengan perkembangan Facebook ini yang turut popular di kalangan pelajar, maka Kementerian Pelajaran, perlu bersedia menjadikan ia sebagai medium untuk sesuatu projek atau tugas membabitkan bidang pendidikan.

"Kawalan penggunaan Facebook boleh dilakukan secara baik dengan menggalakkan mereka menggunakannya untuk tujuan pendidikan, bukan membuang masa bersembang mengenai perkara yang tidak bermanfaat sehingga boleh meruntuhkan nilai moral," katanya yang sedang menyiapkan kajian penggunaan Facebook terhadap 20 sekolah di Selangor dan Kedah.

Namun, dalam kelekaan melayari Facebook ini, setiap orang perlu lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa pencerobohan pihak tertentu yang mungkin berniat buruk kerana semua data peribadi pelayar lazimnya didedahkan tanpa rahsia.

Kecenderungan data itu boleh dipungut pihak tertentu untuk mengeksploitasi, menyerang seseorang atau mengancam keselamatan negara sekiranya tiada mekanisme tertentu untuk membendung kejadian seumpama itu.

"Kesan negatif lain akibat kegilaan Facebook ialah mengikis budaya, mengurangkan komunikasi bersemuka atau menghantar gambar lucah serta mengiklankan diri untuk menjual diri," katanya.

No comments: