LAPORAN Exit Survey: Generic Student Atributes (GSA) menunjukkan pencapaian mahasiswa negara ini dalam elemen moral dan etika profesional berada di tahap paling rendah iaitu 73.3 peratus bagi wanita dan 57.7 peratus bagi lelaki.
Statistik laporan itu menunjukkan mahasiswa negara ini kurang kesedaran terhadap kepentingan nilai-nilai integriti atau mungkin juga, mahasiswa tidak memahami apakah maksud yang tersirat dan tersurat di sebalik perkataan itu sehingga mereka mengabaikan elemen tersebut.
Kamus Dewan Edisi Ketiga menjelaskan integriti bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Dalam kamus-kamus bahasa Inggeris pula, perkataan itu merujuk kepada kualiti untuk menjadi seorang yang jujur.
Ini bermaksud sebarang usaha meningkatkan nilai integriti akan menjurus kepada melahirkan insan yang jujur, beretika, memiliki nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh. Tanpa kesemua nilai itu, pastinya generasi akan datang yang merupakan barisan pemimpin pelapis masa kini dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik, budaya dan lain-lain akan porak peranda.
Masyarakat yang rendah tahap integriti akan menghasilkan suasana pelaburan yang tidak baik untuk negara sekali gus meletakkan negara di ambang kegagalan dalam merealisasikan Wawasan 2020 ke arah sebuah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi.
Mengakui kelemahan mahasiswa dalam elemen integriti, Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Kasim Mansur berkata, kajian yang mendapati tahap integriti di kalangan mahasiswa terutama lelaki adalah rendah perlu diberi perhatian serius dalam menyelesaikannya.
Menurutnya, sama ada gender itu ada perbezaan, apa yang penting sekarang adalah meningkatkan tahap integriti mahasiswa.
"Kalau mahu negara maju, mampu bersaing dengan negara lain dalam arus globalisasi, maka modal insan ke arah memperkukuhkan integriti mahasiswa perlu wujud.
"Tanpanya, akan muncul banyak permasalahan terutama dalam membangunkan masyarakat yang bermoral tinggi dan mampu menarik pelabur asing ke Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Katanya, pelabur asing pasti akan teragak-agak untuk datang ke negara ini jika rakyatnya tidak memiliki tahap integriti yang tinggi.
"Tentu pelabur takut nak datang buat bisnes di sini (Malaysia). Siapa yang nak berurusan dengan orang yang rendah integritinya terutama dalam aspek moral dan kejujuran. Dalam bisnes, itu adalah antara faktor penting?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan yang dilahirkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya setiap universiti mewujudkan Rakan Integriti Mahasiswa atau RIM.
Cadangan itu dikemukakan oleh Mohamed Khaled pada majlis penutup Debat Perdana Integriti 2010 yang berlangsung di UMS, Kota Kinabalu, Sabah kelmarin.
Sementara itu, TNC HEP Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, apa yang dicadangkan oleh Mohamed Khaled itu tepat dan kena pada waktu sekarang.
Ini memandangkan mahasiswa hari ini lebih banyak terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran kehidupan yang sukar dijangka.
Menurutnya, menerusi program-program pemantapan integriti, haluan mereka ke arah menjadi aset negara yang berguna boleh dipimpin mengikut landasan yang betul.
"Kita mahu pupuk mahasiswa dengan nilai-nilai positif dan menolak budaya kerja yang tidak jujur termasuk rasuah.
"Ini penting kerana hanya dengan integriti yang mantap, barulah mahasiswa dapat membawa negara ke arah kecemerlangan kualiti dalam apa sahaja bidang," ujarnya.
Beliau berkata, program pengukuhan integriti untuk mahasiswa yang boleh digerakkan melalui RIM itu juga bakal melahirkan mahasiswa yang amanah, jujur dan berkualiti tinggi.
"Cadangan menubuhkan RIM adalah satu usaha yang baik dan kita (UUM) akan segera melaksanakan penubuhannya," katanya.
Beliau yang menyokong idea itu juga berkata, kesemua persatuan dan kokurikulum di UUM sentiasa menyerap elemen integriti di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.
Selain itu, katanya, penubuhan RIM juga sesuai dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara elemen dalam konsep itu adalah perpaduan dan nilai-nilai aspirasi ke arah melahirkan masyarakat berintegriti yang menjadi terasnya.
Selain itu, idea Mohamed Khaled supaya RIM di setiap universiti mempunyai hubungan yang rapat dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) perlu direalisasikan.
Ini kerana konsep penubuhan RIM itu adalah sejajar dengan visi dan misi penubuhan institut itu pada 5 November 2003.
Ia ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat dan bagi melengkapkan usaha-usaha pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Visi IIM adalah membentuk masyarakat Malaysia yang beretika dan berintegriti yang mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh serta ditunjangi oleh budi pekerti yang murni.
IIM akan melaksanakan objektif, strategi dan program peningkatan integriti warga Malaysia dalam semua aspek kehidupan menerusi misi yang telah disasarkan.
Justeru, kerjasama rapat antara kedua-dua pihak itu penting kerana ia boleh berfungsi sebagai duta integriti di institut pengajian tinggi (IPT) dengan masing-masing bertanggungjawab menggerakkan program-program pemantapan integriti di kalangan mahasiswa.
"Program seumpama ini sebenarnya telah wujud di UUM, cuma ia bergerak berasingan mengikut persatuan masing-masing.
"Tetapi dengan kewujudan RIM kelak, usaha-usaha memantapkan integriti boleh dibuat di bawah sebuah organisasi," katanya.
Apa yang diharapkan adalah setiap IPT sama ada awam atau swasta mengambil langkah segera dalam memastikan penubuhan RIM di institusi masing-masing menjadi kenyataan.
Malah, lebih wajar jika satu unit integriti turut dikembangkan di sektor awam, sektor swasta, politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan belia di peringkat daerah agar impian melahirkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan kerjaya yang berintegriti tinggi dapat dicapai.
No comments:
Post a Comment