SUDAH berapa lama restoran kopitiam bertapak di negara ini? Di sana sini, bahkan di pekan-pekan kecil pun sudah ada kopitiam.
Ada syarikat kopitiam yang mempunyai lebih 100 rangkaian di negara ini. Selain restoran mamak 24 jam, kopitiam kini adalah kedai makan yang amat popular dalam kalangan masyarakat, tidak mengira bangsa dan agama. Ternyata kopitiam mengaut banyak keuntungan.
Bagaimanapun, pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini bahawa hanya dua kopitiam sahaja dalam negara ini yang mempunyai sijil halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat mengejutkan.
Selebihnya tidak memohon, dan ada pula mempunyai sijil halal yang dipohon daripada syarikat swasta yang tidak diiktiraf.
Pendedahan ini membuatkan umat Islam yang gemar mengunjungi kopitiam walaupun untuk menikmati secawan kopi, terbantut selera untuk ke sana lagi. Pengguna Islam tentunya merasa tertipu kerana selama ini restoran berkenaan ada yang mempamerkan logo halal.
Alasan pengusaha kopitiam bahawa Jakim tidak efisien dan mengamalkan prosedur yang tidak masuk akal ketika memohon sijil sememangnya tidak boleh diterima.
Pengusahalah sebenarnya memberikan alasan yang tidak masuk akal. Susah sangatkah menyenaraikan satu persatu bahan mentah yang digunakan, sedangkan keuntungan yang diperolehi melalui perniagaan tersebut berganda-ganda.
Lebih dikesalkan ada memberi alasan mahu menjimatkan masa, maka jalan mudah adalah memohonnya daripada syarikat swasta. Semudah itu sijil halal diperlekehkan.
Tidak kurang juga mengatakan tidak jelas dengan prosedur memohon. Sedangkan menurut Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar, jabatan itu bukannya suka-suka menetapkan prosedur sendiri tetapi ia adalah mengikut standard yang ditetapkan dan diiktiraf di peringkat dunia.
Sepatutnya pengusaha kopitiam perlu sensitif mengenai perkara ini. Perkara halal haram adalah satu isu besar kepada umat Islam dan ia tidak boleh dikompromi. Maka Jakim perlu bersikap tegas dalam menangani isu ini.
Kita minta Jakim tidak melayan kerenah-kerenah pengusaha kopitiam yang jelas memandang mudah soal sijil halal ini. Jika mereka tidak faham, maka penerangan harus diberikan dan selebihnya bertindaklah.
Penggunaan sijil halal yang diragui kesahihannya tidak boleh dipandang remeh apatah lagi mempermain-mainkannya.
Tindakan luar dugaan pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas, Negeri Sembilan kelmarin yang sanggup 'mengurung' 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan, Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta wartawan yang memeriksa kilang itu sudah melampau dan mencabar penguat kuasa.
Inilah antara cabaran hebat untuk Jakim supaya bertegas dalam menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan berkaitan sijil halal.
Dalam pada itu, pengguna Islam yang mempunyai kuasa beli yang besar juga boleh memainkan peranannya untuk memastikan sijil halal ini tidak dipandang enteng oleh pengusaha restoran dan pembekal makanan.
Makan sahaja di restoran yang mempunyai sijil halal yang sah dan belilah barangan yang ada logo halal Jakim.
No comments:
Post a Comment