PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100324

Tanam sikap pemanduan selamat

23 Mac - Sedar atau tidak, Malaysia mencatatkan lebih daripada 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Mengikut statistik, jumlah kematian pada tahun lalu telah meningkat iaitu sebanyak 6,745 berbanding 6,527 pada 2008.

Apa yang menyedihkan, angka kematian paling tinggi adalah di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu sebanyak 4,067 orang pada tahun lalu berbanding 3,898 orang pada 2008.

Mengapa perkara seumpama ini terus berlaku tanpa ada jalan penyelesaian?

Maka, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berusaha menanamkan sikap pemanduan selamat di kalangan para pelajar dengan melancarkan Kempen Pemakaian Helmet Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2010 di kampus universiti itu di Kota Samarahan, di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran kempen itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Menurut Abdul Rahim, kematian akibat kemalangan di kalangan penunggang dan pembonceng motosika adalah kerana kurangnya sikap mengambil berat terhadap langkah keselamatan iaitu pemakaian topi keledar dengan cara yang betul.

Kata beliau, kebanyakan punca kematian di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan di bahagian kepala (56.5 peratus), kecederaan di bahagian otak (38.1 peratus) kecederaan kepala dan otak (34 peratus) serta keretakan di bahagian kepala (27.9 peratus).

''Walaupun undang-undang pemakaian topi keledar telah lama diperkenalkan iaitu sejak 1973, namun pematuhan ke atas undang-undang berkenaan masih lagi rendah di kalangan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

''Pematuhan yang kurang di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sendiri juga menjadi punca berlakunya peningkatan kematian ke atas golongan penunggang serta pembonceng motosikal," katanya.

Ini kerana, Abdul Rahim memberitahu, kebanyakan pelajar IPT lebih gemar menggunakan topi keledar yang mengikut gaya fesyen masa kini berbanding kualiti pelindung kepala tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pihak pengurusan IPT atau kolej harus serius dalam menguatkuasakan peraturan penggunaan topi keledar di kawasan kampus kepada setiap pelajar yang menggunakan motosikal.

''Walaupun bagi sesetengah pihak, pemakaian topi keledar di kawasan kampus IPT bukanlah isu yang serius tetapi sekiranya berlaku kes kemalangan yang tragik, kerajaan akan disalahkan kerana tidak serius dalam penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

''Saya memuji kerjasama Unimas dan Univeristi Teknologi Mara (UiTM) kerana inisiatif dalam mengadakan kempen seumpama ini untuk menerapkan kesedaran di kalangan para pelajar," ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim turut berharap IPT (awam) dan IPT (swasta) lain turut mengikut jejak dua universiti itu dalam membantu kerajaan menguatkuasakan penggunaan topi keledar di sekitar kawasan kampus.

Dalam pada itu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) telah mengedarkan tiga ratus unit topi keledar secara percuma kepada para pelajar Unimas dan UiTM, kampus Samarahan pada kempen berkenaan.

Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan penguatkuasaan undang-undang pemakaian topi keledar di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini.

Terdahulu pada majlis pelancaran kempen berkenaan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimas, Profesor Madya Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata, beliau berharap kempen berkenaan dapat dilaksana secara berterusan supaya memberi kesan positif kepada warga IPTA terutama di kalangan pelajar Unimas.

Katanya, bagi Unimas sendiri, pihaknya akan terus memberi kerjasama terutama kepada program yang memberi manfaat dan perlindungan kepada warga universiti dan pelajar.

No comments: