Kerajaan mahu pastikan segala janji kepada rakyat dikotakan sepenuhnya: PM
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan melaksanakan perubahan dan pembaharuan seperti dikehendaki rakyat menerusi mandat yang diberi kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Perdana Menteri berkata, perubahan yang sudah dimulakan seperti ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aspek berkaitan pembasmian rasuah akan diteruskan, selain tuntutan untuk meningkatkan integriti sistem kehakiman serta perundangan.
"Kini adalah masanya untuk pelaksanaan secara berkesan dan ini perubahan yang dimahukan rakyat. Kali ini, kita mahu memastikan segala janji kepada rakyat dikotakan sepenuhnya," katanya.
Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, beliau menyedari wujud kesalahan, kesilapan serta kekurangannya sebagai ketua parti, terutama dari segi pelaksanaan manifesto empat tahun lalu hingga mendorong prestasi kurang cemerlang BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak akan sesekali lari daripada tanggungjawabnya dan ruang perbincangan sentiasa terbuka. Katanya, sepanjang empat tahun pertama menjadi Perdana Menteri, banyak perkara yang perlu dibereskan dan beliau terpaksa memberi perhatian kepada perkara lain seperti ekonomi dan meyakinkan pelabur untuk datang ke Malaysia kerana negara akan menghadapi masalah lebih besar jika pertumbuhan ekonomi tidak bergerak di landasan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment