Penjelasan terus terang jadi panduan proses perubahan: Najib KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, amanat presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dijadikan tunjang serta naungan utama kepada proses perubahan bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno berkata, amanat yang diberikan adalah ucapan ikhlas Abdullah kepada akar umbi.
"Amanat Pak Lah itu sangat berterus-terang dan luahan perasaannya sebagai presiden parti dan Perdana Menteri. Ucapannya itu memberikan kami panduan bagaimana mahu menyusun semula proses perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
"Berbekal amanat itu, kami akan menggerakkan jentera parti ke arah proses pemulihan serta perubahan yang diingini akar umbi dan masyarakat," katanya selepas menghadiri majlis penerangan bersama Presiden Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. Majlis dihadiri kira-kira 1,000 Ketua Penerangan mewakili negeri, bahagian dan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno serta Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Najib berkata, jawatankuasa pengurusan parti yang diketuainya akan mula turun padang Selasa ini bagi bertemu kepemimpinan akar umbi, termasuk bahagian serta negeri bagi mendengar sendiri pandangan mereka.
"Ia bagi mendapatkan maklum balas di samping memberikan penerangan mengenai amanat yang disampaikan Abdullah semalam. Kita juga akan menyampaikan pandangan pucuk pimpinan terhadap beberapa isu, termasuk pelbagai kritikan dilontarkan terhadap pucuk pimpinan," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata jawatankuasa itu akan turun ke negeri yang tidak dikuasai BN termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, sebelum ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ke negeri lain.
No comments:
Post a Comment