PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080403

Ekonomi - Rantau Asia bebas risiko krisis kewangan

Pegawai IMF yakin dasar kewangan, asas pasaran masih kukuh RANTAU Asia tidak berdepan risiko menghadapi satu lagi krisis kewangan seperti yang dihadapi pada 1997, kata seorang pegawai kanan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Timbalan Pengarah (Jabatan Asia Pasifik) badan dunia itu, Daniel Citrin, berkata situasi ketika ini adalah sama sekali berbeza daripada apa yang berlaku 11 tahun lalu.

Beliau berkata, dasar kewangan, asas pasaran dan situasi fiskal di rantau ini adalah kukuh dengan hanya pendedahan kecil terhadap krisis subprima di Amerika Syarikat (AS).

"Bank di Asia kurang terdedah kepada masalah subprima AS dan keadaannya tidaklah seteruk berbanding di AS," katanya kepada pemberita di luar mesyuarat tidak rasmi Menteri Kewangan Asean + 3 dan Timbalan Gabenor Bank Pusat di Danang, Vietnam semalam.

Bagaimanapun, Citrin berkata, kemelesetan ekonomi di AS dan ekonomi utama lain seperti Eropah dan Jepun tentunya memberikan sedikit kesan kepada rantau ini.

"Ada tanda-tanda berlakunya kelembapan di sesetengah bahagian dunia. Memang ada kesannya, rantau ini tetap terdedah tetapi tidak seperti pada 1997," katanya.

Krisis kewangan Asia 1997 berlaku pada Julai tahun itu, bermula dengan penurunan nilai baht di Thailand sebelum merebak ke negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina dan akhirnya melanda Korea Selatan, Hong Kong dan China.

Citrin berkata, tidak seperti pada 1997, negara di Asia sekarang ini mempunyai dasar fiskal yang lebih baik dengan pertumbuhan yang kukuh tetapi IMF lebih bimbang mengenai peningkatan inflasi. Beliau berkata, IMF akan mengeluarkan unjuran pertumbuhan terkininya bagi 2008 dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) dalam laporan Tinjauan Masa Depan Perkembangan Asia 2008, berkata, negara sedang membangun di Asia akan mencatatkan pertumbuhan mantap tahun ini di sebalik kemerosotan ekonomi di negara industri utama.

Katanya, bagi Malaysia, ekonominya diunjurkan mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus tahun ini, rendah sedikit berbanding 6.3 peratus tahun lalu sebelum meningkat kepada 5.9 peratus pada 2009.

ADB berkata, di sebalik penurunan dalam ekonomi utama, kenaikan harga makanan dan bahan bakar dan krisis kredit semakin hangat di AS, ia mengunjurkan ekonomi negara Asia yang sedang berkembang secara puratanya akan tumbuh 7.6 peratus tahun ini dan 7.8 peratus tahun depan.

Tahun lalu, rantau ini mencatatkan pertumbuhan paling tingginya sejak hampir dua dekad lalu pada purata 8.7 peratus.

"Asia tidak kebal daripada kemerosotan global dan ia juga tidak akan terperangkap kepadanya," kata Ketua Pakar Ekonomi ADB, Ifzal Ali.

Beliau berkata, keadaan dasar yang baik dan pertumbuhan produktiviti yang menarik serta pemodenan ekonomi dan pembaharuan struktur akan terus mengekalkan rantau ini dalam landasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

– Bernama

No comments: