Kerajaan dijangka menanggung subsidi minyak yang lebih tinggi antara RM18 bilion hingga RM19 bilion pada tahun ini, berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia yang melambung tinggi.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, jumlah subsidi itu merupakan peningkatan berbanding antara RM7 bilion hingga RM8 bilion yang dibelanjakan pada tahun lalu.
‘‘Berdasarkan harga minyak mentah semasa global, subsidi minyak sebenar yang kita (kerajaan) ambil daripada bajet (tahun ini) itu tidak termasuk daripada Petronas untuk diberikan kepada rakyat dan syarikat adalah berjumlah antara RM18 bilion hingga RM19 bilion pada tahun ini berbanding antara RM7 bilion hingga RM8 bilion pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan betapa besarnya tanggungan kerajaan sekarang,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik Biz Avenue di sini hari ini.
Nor Yakcop menjelaskan bahawa dengan peningkatan subsidi itu, jumlah keseluruhan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan pada tahun ini dijangka mencecah lebih daripada RM40 bilion berbanding unjuran awal berjumlah RM35 bilion.
Pada pertengahan Januari tahun ini, Nor Yakcop menjelaskan, kerajaan dijangka mengeluarkan subsidi bahan bakar sebanyak RM35 bilion bagi tahun 2008 jika harga minyak mentah terus berada di atas paras AS$100 setong.
Bagaimanapun, pada masa sekarang harga minyak mentah dunia telah mencecah melebihi AS$115 setong.
Ditanya mengenai kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap perkembangan ekonomi semasa, beliau berkata, kerajaan tidak melihat kesannya dalam jangka pendek tetapi menilainya sebagai isu jangka panjang.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut mengkaji kesan kenaikan harga komoditi lain dan makanan, katanya.
No comments:
Post a Comment