PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080309

Empat menteri, 10 timbalan tewas

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon adalah antara pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) yang tewas selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan setakat jam 3 pagi ini.

Selain Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, juga kalah.

Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak 1974 apabila tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr D Jeyakumar dengan majoriti 1,821 undi. Samy Vellu mendapat 14,637 undi berbanding Jeyakumar, 16,458.

Aziz tewas di Shah Alam apabila meraih 24.042 undi berbanding lawannya, Khalid Abdul Samad daripada PKR yang mendapat 33,356 undi manakala Shahrizat yang mendapat 18,833 undi, kalah di Lembah Pantai kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar yang mendapat 21,728 undi.

Zainudin yang beralih dari kerusi Parlimen Merbok ke Sungai Petani dalam pilihan raya kali ini tewas 9,381 undi kepada calon PKR, Johari Abdul. Zainudin mendapat 24,441 undi berbanding Johari, 33,822 undi.

Dr Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen pula, tewas di Batu Kawan kepada calon DAP yang juga bekas pensyarah, Dr P Ramasamy. Beliau hanya meraih 13,582 undi berbanding Ramasamy 23,067.

Turut tewas, 10 timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong. Tan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang disandangnya sejak tiga penggal lalu apabila tewas kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Tan mendapat 25,608 undi berbanding Abdul Khalid yang juga Setiausaha Agung PKR, 28,123 undi.

Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) tewas di Taiping dengan majoriti 11,298 undi apabila mendapat 16,800 undi berbanding lawannya daripada DAP, Nga Kor Ming yang mendapat 28,098 undi. Mah yang juga Ketua Pemuda Gerakan, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandangnya apabila tewas dengan majoriti 1,470 undi kepada calon DAP, M Manogaran. Mah mendapat 17,016 undi berbanding Manogaran, 18,486 undi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman tewas di kerusi Parlimen Nibong Tebal dengan majoriti 3,087 undi apabila mendapat 17,123 undi berbanding pencabarnya daripada PKR, Tan Tee Beng yang meraih 20,210 undi. Timbalan

Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas di kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 2,901 undi apabila mendapat 25,934 undi berbanding pencabarnya, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang meraih 28,835. Beliau yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok, tewas dengan majoriti 1,270 undi kepada calon Pas, Datuk Omar Mohamad. Awang Adek mendapat 8,235 undi berbanding Omar yang meraih 9,505 undi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, tewas 198 undi di kerusi Parlimen Hulu Selangor kepada calon PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Palanivel memperoleh 22,979 undi berbanding Zainal Abidin, 23,177.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuantan pula kalah dengan majoriti 1,826 undi kepada calon PKR, Fuziah Salleh. Fu mendapat 16,572 undi berbanding Fuziah, 18,398.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, kalah dengan majoriti 16,122 undi di Parlimen Bukit Bendera kepada pencabarnya, Liew Chin Tong daripada DAP. Chia yang juga Setiausaha Agung Gerakan, mendapat 15,131 undi berbanding Liew, 31,243.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan kalah dengan majoriti 2.804 undi di Teluk Kemang kepada calon PKR, Kamarul Bahrin Abbas. Sothinathan yang juga Naib Presiden MIC, mendapat 20,544 undi berbanding Kamarul Bahrin, 23,348.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin, kalah dengan majoriti 3,413 di Bagan Serai kepada calon PKR, Mohsin Fadzli Samsuri. Zainal Abidin mendapat 18,943 undi manakala Mohsin Fadzli, 18,943.

Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail sekali lagi gagal untuk merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila tewas dengan majoriti 13,388 undi.

No comments: