Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Barisan Nasional (BN) masih mencatat keputusan yang baik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan mampu membentuk kerajaan yang kuat walaupun tidak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.
Perdana Menteri berkata, ini memandangkan BN hanya kekurangan lapan kerusi untuk memperoleh majoriti tersebut.
Menurut beliau, kejayaan menguasai 140 daripada 222 kerusi Parlimen akan membolehkan BN menubuhkan kerajaan bagi melaksanakan janji dalam manifesto dan program yang ditetapkan seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan koridor-koridor pembangunan ekonomi.
‘‘Tidak mendapat dua pertiga majoriti bukan sesuatu yang kita bimbangkan sangat. Kita boleh menjadi kerajaan yang baik, memberikan apa yang dijanjikan dan mencapai prestasi yang baik.
‘‘Saya ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara berjaya di bawah BN walaupun tidak memperoleh majoriti dua pertiga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdullah yang juga Pengerusi BN, sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam dua sesi berasingan secara berturut-turut, bermula pukul 1.30 tengah hari dan berakhir kira-kira 6.30 petang.
Katanya, keputusan pilihan raya berkenaan menjadi pengajaran kepada UMNO dan BN.
Abdullah mengakui keputusan itu adalah satu isyarat yang perlu diberi perhatian dan mesti diterjemahkan dalam tindakan yang bakal diambil kelak.
‘‘Saya sendiri belajar daripada peristiwa itu kerana percaya setiap kejadian ada pengajaran. Saya bukanlah seorang yang degil dan tidak mahu belajar daripada kehidupan walaupun ia mempunyai hubungan dengan karier dan tugas saya,’’ katanya.
Ditanya sama ada ‘isyarat’ daripada rakyat itu bermaksud mereka berasa marah kepada beliau, Abdullah berkata: ‘‘Mungkin, saya tak tahu, mereka hanya melakukannya.”
Abdullah menegaskan, setiap orang di dalam parti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada BN kerana keputusan sentiasa dibuat berdasarkan kata sepakat.
‘‘Datuk (Seri) Najib (Tun Razak) ada menyebut bahawa kita semua secara bersama bertanggungjawab terhadap segala yang kita lakukan. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa membuat keputusan berasaskan konsensus, keputusan bersama dan tanggungjawab bersama.
‘‘Ada keputusan yang baik dan ada yang mungkin tidak diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kita boleh perbaiki,” katanya.
Ditanya apa yang beliau maksudkan dengan ‘‘isyarat oleh pengundi yang perlu diberi perhatian oleh BN’’, Abdullah menjelaskan, rakyat mahu supaya kerajaan melaksanakan janjinya dengan cara yang lebih baik.
‘‘Ada beberapa perkara yang saya tahu menjadi isu-isu penting semasa kempen pilihan raya seperti kenaikan harga barang, jenayah dan rasuah. Itulah perkara-perkara mustahak yang timbul pada masa itu,’’ katanya.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa bebas akan dilantik bagi mendapatkan satu analisis yang objektif berhubung pencapaian BN dalam pilihan raya umum kali ini.
No comments:
Post a Comment