Kerajaan mungkin membuka pasaran bagi barangan keperluan untuk menghentikan manipulasi peniaga serta menjamin bekalan dan harga yang lebih berpatutan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad. Beliau berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak membenarkan import barangan berkenaan demi kepentingan pengguna.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada mesyuarat pertama Kabinet baru Rabu lalu mengarahkan jemaah menteri melakukan apa saja asalkan tindakan itu memanfaatkan rakyat.
"Kita selama ini ingat pasaran Malaysia besar sedangkan pasaran domestik sebenarnya agak kecil. Adalah mudah bagi sebilangan peniaga dan pengeluar untuk mengawal pasaran.
"Kita fikir dengan kawalan pasaran ini, kita akan mendapat harga berpatutan, tetapi mungkin jika kita membuka pasaran maka bekalan dan harga akan lebih baik.
"Kita tidak seharusnya sekadar memberi amaran, tetapi melakukannya saja. Lagipun kita akan ada Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta)," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tugas di kementeriannya di sini, semalam.
Beliau ditanya mengenai langkah yang akan diambilnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menangani masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang keperluan yang dikatakan antara faktor pengundi menyokong pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Terdahulu, Shahrir dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, mengadakan pertemuan dan menandatangani Nota Serah Tugas. Hadir sama ialah Timbalannya, Jelaing Mersat dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, kenaikan harga barang keperluan bukan disebabkan kegagalan kementerian itu, tetapi dasar sebelum ini yang terlalu memberi tumpuan kepada keperluan pengeluar dan peniaga berbanding pengguna. Kawalan barangan keperluan juga membabitkan bidang kuasa beberapa kementerian lain, seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
"Isu harga barangan adalah masalah besar dan untuk menanganinya kerajaan sudah menubuhkan Majlis Harga Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Sudah ada kesedaran sebelum pilihan raya umum lalu," katanya sambil menambah beliau bernasib baik kerana masalah kenaikan harga memuncak November lalu.
Ditanya sama ada beliau akan mengkaji semula mekanisme kawalan harga barangan, Shahrir berkata ia akan dirombak 'luar dan dalam' kerana kawalan harga barangan tidak akan menjadi realistik jika kerajaan tidak mempunyai kawalan terhadap aspek bekalan.
"Apabila bekalan bukan dalam kawalan anda dan anda mempunyai halangan palsu terhadap bekalan, maka harga barangan juga bukan sesuatu yang nyata.
Justeru, jika anda tidak mengawal bekalan dan tidak tahu harga sebenar barangan, bagaimana anda hendak kawal harga barangan itu?" katanya.
No comments:
Post a Comment