KELUHAN rakyat berikutan kenaikan harga barang keperluan dipercayai diluahkan menerusi kertas undi pada pilihan raya umum lalu. Hal ini disedari banyak pihak dan kerajaan sentiasa berusaha memastikan harga barang di pasaran dalam keadaan stabil dan pengguna dapat membeli barangan pada harga lebih munasabah. Justeru, cadangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, untuk membuka pasaran barangan keperluan harian bagi menghentikan manipulasi peniaga dan menjamin bekalan mencukupi adalah satu strategi baik, tetapi harus dikaji dan dibincangkan kesannya. Mungkin cadangan kerajaan itu menimbulkan keresahan di kalangan peniaga dan pemborong yang selama ini memonopoli dan menetapkan harga barangan keperluan, namun ia bakal menguntungkan rakyat yang berpeluang membeli barang dengan harga lebih murah.
Selepas beberapa usaha untuk mengekang kenaikan harga barang, terutama ketika musim perayaan kurang berjaya, sekali lagi kita diberi harapan oleh kerajaan untuk menangani masalah berkenaan. Kita dapati banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, seolah-olah dipandang ringan sehingga rakyat terperangkap dan tidak dapat berbuat apa-apa setiap kali kenaikan mendadak sesuatu barang keperluan, lebih-lebih lagi yang tidak tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga. Malah, akibat rasa tidak puas hati sesetengah mereka, kerajaan dihukum menerusi pilihan raya umum baru-baru ini, yang menyaksikan perubahan senario politik sekarang. Sekali lagi bagi mengatasi masalah yang menghantui pengguna sehingga meningkatkan kadar inflasi, kerajaan merangka mekanisme baru sebagai jalan bagi mengawal harga barang. Bagi kita langkah membuka pasaran boleh mengelak monopoli, sekali gus menguntungkan pihak pengguna dan peniaga kecil. Sebagai contoh, harga barangan di Sabah dan Sarawak didapati lebih tinggi berbanding harga di Semenanjung kerana kos pengangkutan, berikutan barangan berkenaan dimonopoli peniaga di Semenanjung. Justeru, cadangan terbaru kerajaan itu diharap dapat meringankan beban rakyat seluruh negara.
Namun dari sudut lain, membuka pasaran secara tidak langsung bermakna kerajaan membenarkan import barangan dari luar negara seperti China, India dan Indonesia. Kesannya, petani tempatan bakal berhadapan dengan masalah dari segi persaingan harga, yang akhirnya merugikan mereka. Kerajaan perlu melindungi petani dan pengeluar barangan tempatan supaya mereka tidak terjejas daripada lambakan barangan murah dari luar negara. Masalah peruncit, peniaga kecil dan penjaja di pasar basah yang mengalami keperitan hidup dan hilang mata pencarian akibat pembukaan pasar raya di seluruh pelusuk negara sekarang perlu dijadikan iktibar. Justeru, kita tidak mahu sebarang perubahan dasar memberi kesan negatif kepada golongan yang selama ini bergantung hidup kepada hasil pertanian dan berniaga kecil-kecilan. Kita tidak pasti, sama ada cadangan menteri berkenaan boleh menjamin bekalan stabil dan harga lebih murah. Banyak dasar dan peraturan yang diperkenalkan kementerian berkenaan sebelum ini tersasar daripada matlamatnya. Namun, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengkaji segala aspek pelaksanaan, tidak ada sebab ia tidak boleh memberi manfaat kepada rakyat yang amat mengharapkan harga barangan pengguna sentiasa stabil. Untuk menyalahkan kementerian sepenuhnya memang tidak adil kerana sebahagian masalah yang timbul berkaitan kenaikan harga barang, berkait rapat dengan sikap peniaga yang mahu untung besar selain tabiat pengguna sendiri yang tidak memahami konsep kepenggunaan.
No comments:
Post a Comment