PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080314

4,980 ijazah perguruan ditawar bagi lulusan SPM

SEJUMLAH 4,980 tempat disediakan untuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti enam program ijazah dalam bidang perguruan tahun ini. Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata daripada jumlah itu, 4,200 tempat untuk Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun.

Beliau berkata, 150 lagi tempat untuk Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Luar Negara dalam lapan pengkhususan, iaitu Matematik, Fizik, Kimia, Biologi, Terapi Pertuturan Klinikal, Terapi Penjagaan Kesihatan, Audiologi dan Psikologi Klinikal.

Bagi Program Kembar Ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua Dengan Universiti Luar Negara (B Ed TESL), katanya, sejumlah 500 tempat disediakan. “Selain itu, masing-masing 15 tempat ditawarkan untuk Program Kembar Bahasa Perancis (PKBP) dan Program Kembar Bahasa Jerman (PKBJ) bagi memenuhi keperluan guru terlatih dalam dua bahasa berkenaan di sekolah menengah.

“Sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran melaksanakan pengajaran bahasa Cina di sekolah rendah kebangsaan, 100 tempat disediakan untuk Program Kembar Bahasa Cina,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, syarat kemasukan Program Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian Empat Tahun ialah memiliki sekurang-kurangnya enam kepujian termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik/Matematik Tambahan, Biologi/Kimia/Fizik/Sains/Sains Tambahan/satu mata pelajaran teknikal, Sejarah dan satu subjek lain. Untuk mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Luar Negara dan B Ed TESL, Asariah menjelaskan pemohon mestilah lulus sekurang-kurangnya 7A termasuk subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik/Matematik Tambahan, Biologi/Kimia/Fizik/Pengajian Kejuruteraan Awam/Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik/Pengajian Kejuruteraan Mekanikal/Teknologi Kejuruteraan/Lukisan Kejuruteraan dan dua mata pelajaran lain.

Beliau berkata, pelajar terpilih menyertai Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Luar Negara perlu mengikuti kursus persediaan satu setengah tahun di mana-mana tiga institusi pendidikan terpilih iaitu Pusat Pendidikan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam; Universiti Tenaga Nasional, Kajang dan Kolej Yayasan United Engineers Malaysia, Lembah Beringin, Perak.

Setelah itu, katanya, pelajar terbabit akan meneruskan pengajian tiga tahun di universiti terkemuka di United Kingdom, Australia dan New Zealand. Bagi B Ed TESL pula, beliau berkata, 10 institusi pendidikan guru terpilih menawarkan kursus persediaan bagi calon program itu selama tiga hingga empat semester sebelum layak meneruskan pengajian di universiti berkembar luar negara.

“Keutamaan diberikan kepada calon memiliki kepujian baik dalam mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris atau mencapai tahap Band 5 dalam Malaysian University English Test, jika ada, “ katanya.

Mengenai PKBP dan PKBJ, ia terbuka kepada calon mempunyai pengetahuan asas bertutur dan menulis dalam dua bahasa berkenaan, selain lulus sekurang-kurangnya 4A termasuk Bahasa Inggeris dan gred 3B bagi Bahasa Melayu, Matematik/Matematik Tambahan, Biologi/Kimia/Fizik/Sains/Sains Tambahan atau satu mata pelajaran teknikal.

Asariah berkata, permohonan bagi semua kursus ijazah perguruan dibuka sejak 5 Mac lalu dan ia perlu dilaksanakan secara aplikasi dalam talian menerusi laman web: http://www.moe.gov.my/.

“Pemohon terlebih dulu perlu mendapatkan nombor pengenalan individu yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional seluruh negara. Tarikh tutup permohonan 25 Mac ini,” katanya.

No comments: