Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan ikrar membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih selamat, aman dan makmur untuk generasi akan datang.
Manifesto dengan slogan ‘Selamat, Aman, Makmur’ itu menggariskan pencapaian dan kemajuan negara dalam lapan sektor sepanjang tempoh 2004-2007 serta janji BN untuk melonjakkan Malaysia ke era yang lebih gemilang.
Sektor-sektor itu ialah ekonomi, pendidikan, pembangunan seimbang, undang-undang keselamatan awam, perkhidmatan awam, membanteras rasuah dan meningkatkan urus tadbir, agama dan perpaduan serta dasar luar.
Manifesto tersebut turut menyatakan ikrar kerajaan BN kepada para pengundi untuk meningkatkan pencapaian setiap sektor sedia ada selain menawarkan visi dan misi bagi mengemudi negara ke tahap yang lebih baik.
Dalam warkah Abdullah yang dilampirkan pada permulaan manifesto itu, Perdana Menteri menyatakan BN memerlukan sokongan rakyat dalam pilihan raya 8 Mac ini.
‘‘Hasrat untuk melahirkan Malaysia yang lebih selamat, aman dan makmur hanya akan dapat tercapai sekiranya kita bersatu hati dan berganding bahu demi generasi hari ini dan akan datang,’’ katanya pada pelancaran yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri oleh para pemimpin parti komponen BN, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, sejak memperoleh mandat besar pada pilihan raya tahun 2004, kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.
Beliau berkata, manifesto berkenaan yang turut memberikan laporan kemajuan negara adalah bukti komitmen kerajaan ke atas semua janji yang dibuat pada pilihan raya sebelum ini.
‘‘Kita berpegang kuat kepada Misi Nasional, menjayakan apa yang telah kita janjikan. Hakikatnya banyak yang kita lakukan telah membawa kemajuan dan kejayaan kepada kita,’’ tegas Abdullah di hadapan kira-kira 1,000 penyokong BN.
Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad juga berada di sisi Abdullah ketika manifesto Malaysia 2008 itu dilancarkan.
Menurut Abdullah, manifesto tersebut akan diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk dibaca, ditatapi dan diperhalusi menjelang pilihan raya.
Katanya, sebanyak 76 perkara besar yang telah diusaha dan dilaksanakan oleh kerajaan dicatatkan dalam manifesto berkenaan.
“Ini adalah perkara penting yang rakyat perlu tahu kerana mereka memberi mandat kepada kita. Janji-janji kita telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan telah pun dimulakan pelaksanaannya.
“Kalau kita ambil semua yang telah kerajaan laksanakan, barangkali ia memerlukan satu buku yang lebih tebal sekali ganda,’’ katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa segala janji kerajaan BN adalah realistik dan bertanggungjawab.
Menurutnya, ia dibuat berdasarkan kesedaran dan komitmen untuk melaksanakannya dan bukan sekadar janji kosong seperti yang ditaburkan oleh parti-parti pembangkang yang terdesak.
“Inilah yang kita tekankan, inilah yang kita laksanakan. Janji kita realistik, janji kita adalah yang bertanggungjawab kerana kita tahu bahawasanya kita akan sekali lagi dapat mandat daripada rakyat untuk tubuhkan kerajaan.
“Maka kita sentiasa berhati-hati dalam berjanji dan janji mesti berasaskan kepada kesedaran dan kita bertanggungjawab melaksanakannya.
“Ia bukan janji-janji kosong sekadar untuk menghiburkan rakyat, bukan janji yang tiada tanggungjawab, bukan janji kosong, kita bukan begitu,’’ katanya.
Perdana Menteri berkata, pihak pembangkang sebaliknya mengemukakan pelbagai janji yang jelas membayangkan sikap yang terdesak.
“Pas dengan manifestonya, DAP dengan manifestonya. Masing- masing dengan cara mereka. Ini adalah satu pakatan main- main sahaja,’’ ujarnya.
Menurut beliau lagi, parti-parti pembangkang juga tidak dapat meyakinkan rakyat kerana masing-masing mempunyai pendirian dan ideologi berbeza serta tidak boleh berkompromi.
‘‘Mereka tidak dapat yakinkan rakyat dan pendekatan mereka tidak disenangi kerana mereka jelas berbeza dan manifesto pun berlainan,’’ katanya.
Abdullah turut menegaskan kerajaan BN akan terus bekerja untuk rakyat dan berbelanja serta mengurus kewangan negara dengan berhemah.
Beliau berkata, kerajaan tidak berbelanja dan menguruskan kewangan negara secara sesuka hati dan tindakan ini memberi keyakinan kepada pelabur.
Beliau memberitahu, walaupun kerajaan memberi subsidi dan berjimat dalam berbelanja, negara masih boleh mencapai kejayaan pembangunan dalam pelbagai bidang.
No comments:
Post a Comment