PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080207

Cuepacs kesal KSN segan bincang isu honorarium

Cuepacs semalam menyatakan rasa kecewa dengan sikap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang ‘segan’ mahu membincangkan permohonan kesatuan itu untuk mendapatkan honorarium RM2,000 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil menegaskan Cuepacs sudah terlalu lama menunggu, Presidennya, Omar Osman mahu kerajaan mengumumkan segera keputusan sama ada memberi atau menolak permohonan honorarium kepada kakitangan sektor awam.

“Kita juga berharap KSN segera bawa permohonan kesatuan mengenai honorarium dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan restunya.

“Selama ini Cuepacs menjangkakan perkara ini sudah pada peringkat perbincangan dengan Abdullah dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan, sebaliknya kami kecewa apabila mendapat tahu ia langsung tidak dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Sidek semalam bahawa beliau belum berbincang dengan Perdana Menteri mengenai pembayaran honorarium untuk kakitangan awam. Mohd Sidek berkata demikian ketika menjawab soalan penonton dalam program `Bicarawara: Bersama Ketua Setiausaha Negara’ yang disiarkan secara langsung di RTM1, semalam.

KSN memberi alasan tidak berbuat demikian kerana sebagai penjawat awam beliau berasa segan untuk meminta kerajaan membayar honorarium itu kerana kerajaan sudah memberi kenaikan gaji yang besar kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan, kenaikan gaji kakitangan awam itu membabitkan RM4 bilion dan jumlah itu adalah lebih besar daripada bonus yang lazim mereka terima.

Mengulas lanjut, Omar berkata, permohonan honorarium itu adalah lanjutan daripada mandat semua ahli yang diputuskan dalam Konvensyen Cuepacs pada September lalu.

“Apabila kami memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai cadangan itu, beliau bersikap terbuka dan menerimanya, lantas menyuruh kami berbincang butirannya dengan KSN.

“Justeru pada 7 Januari lalu kami mengemukakan cadangan meminta kerajaan menimbang pemberian honorarium atau sagu hati sebanyak RM2,000 kepada kakitangan awam bagi meringankan beban kewangan mereka menampung kenaikan kos sara hidup.

“Kami harap KSN dapat mengemukakan cadangan ini segera kepada Perdana Menteri supaya dapat diputuskan dalam bulan ini juga,” katanya. Omar berkata, pemberian sagu hati adalah wajar dalam keadaan sekarang kerana 850,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, kenaikan pendapatan daripada pelarasan gaji pada Julai lalu sudah dihakis oleh kenaikan harga barang. “Kakitangan awam wajar mendapat ganjaran daripada kesetiaan mereka kepada kerajaan selama sepanjang 50 tahun merdeka dan prestasi kerja mereka semakin bertambah baik,” katanya.

BH 7/02/2008

No comments: