Seramai 216,485 pemilih baru di Sarawak dijangka akan mengundi buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadikan jumlah pemilih berdaftar yang diwartakan sehingga 5 Februari lalu meningkat kepada 912,454 orang.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Takun Sunggah, berkata jumlah itu sudah dimuktamadkan Selasa lalu dengan daftar pemilih akan disediakan sejurus Perdana Menteri membubarkan Parlimen. "Seramai 896,100 daripada pemilih berkenaan adalah pemilih biasa dan 16,354 lagi pemilih pos. Kawasan Parlimen Stampin mencatatkan jumlah pemilih berdaftar tertinggi iaitu seramai 67,257 orang.
"Ketika ini peti undi baru lutsinar sudah disediakan, manakala dakwat hitam yang akan digunakan buat pertama kalinya dijangka tiba sedikit masa lagi bergantung kepada arahan ibu pejabat," katanya ketika ditemui Berita Harian di pejabatnya di sini, semalam.
Takun berkata, persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum sedang rancak dilakukan dengan 17,844 kakitangan sepenuh masa dan separuh masa sudah dikerah bersiap sedia. "Pusat Pengiraan Undi Berkelompok (PPUB) akan dibuka di 12 kawasan Parlimen yang luas bagi memudahkan proses pengiraan, selain mengelakkan kelewatan akibat jarak antara pusat membuang undi adalah jauh.
"Sebanyak 20 helikopter akan digunakan bagi memindahkan peti undi di pusat pengundian yang terletak di kawasan pedalaman dan saya yakin masalah kelewatan dapat diatasi kali ini," katanya.
Beliau berkata, PPUB akan dibuka selepas tamat waktu mengundi menggabungkan peti dari beberapa pusat mengundi yang berada jauh di kawasan hulu sungai atau pedalaman.
"Beberapa lokasi PPUB seperti di Pejabat Daerah Kecil dan Dewan Suarah dikenal pasti bagi operasi pusat berkenaan kerana peti undi akan tiba lewat jika cuba dihantar ke pusat pengiraan utama.
"Sebanyak 1,000 perahu akan digunakan bagi membawa peti undi di kawasan hulu sungai ke PPUB, selain kenderaan pacuan empat ronda yang akan disediakan di setiap lokasi pengundian," katanya.
Mengulas mengenai keadaan pengundi yang tinggal jauh dari pusat pengundian, Takun berkata, pihaknya sudah menetapkan sekurang-kurangnya 30 pengundi berdaftar diperlukan sebelum pusat berkenaan dibuka.
"Terdapat 1,716 pusat pembuangan undi akan dibuka dengan kakitangan SPR tidak akan pergi ke kampung di pedalaman semata-mata bagi mendapatkan undi dari tiga atau empat pemilih kerana ia membabitkan kos yang terlalu tinggi,” katanya.
"Kita meminta pengundi yang tinggal jauh dari pusat mengundi supaya keluar sehari atau dua hari lebih awal dan menumpang di rumah saudara mereka bagi mengelak kegagalan membuang undi nanti," katanya.
BH 7/2/08
No comments:
Post a Comment