Daftar pemilih dipamer sejurus PM bubar Parlimen
Seramai 912,454 pengundi di Sarawak layak mengundi pada pilihan raya parlimen yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Takun Sunggah berkata, jumlah itu sudah pun dimuktamadkan dan daftar pemilih yang layak nanti akan dipamerkan sejurus Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen.
Katanya, seramai 216,485 pemilih baru di Sarawak dijangka akan turun mengundi buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-12 ini menjadikan jumlah pengundi berdaftar sehingga 5 Februari lalu meningkat 912,454 orang.
“Dalam pada itu, seramai 896,100 daripada pemilih terbabit adalah pengundi biasa dan 16,354 adalah pengundi pos, ” katanya.
Takun menarik perhatian, kawasan Parlimen Stampin mencatat jumlah pengundi berdaftar paling ramai iaitu 67,257 pemilih.
Menurut Takun, SPR Sarawak sedang rancak melakukan persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya parlimen yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi.
“Kami (SPR) menyediakan seramai 17,844 kakitangan sepenuh masa dan separuh masa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini.
“Sebanyak 20 helikopter di-gunakan untuk membawa peti undi ke pusat pengundian yang terletak di kawasan-kawasan pedalaman negeri ini sekali gus mempercepatkan proses pengundian,” jelasnya.
Takun berkata, Pusat Pengiraan Undi Berkelompok (PPUB) akan dibuka di 12 kawasan Parlimen yang luas bagi memudahkan proses pengiraan di samping mengelak daripada kelewatan disebabkan jarak pusat pembuangan undi adalah jauh.
Bagaimanapun, katanya, PPUB akan dibuka selepas tamat waktu mengundi justeru menggabungkan peti-peti undi di pusat pengundian yang terletak jauh seperti di hulu sungai atau pedalaman.
“Beberapa lokasi PPUB seperti Pejabat Daerah Kecil dan Dewan Suarah dikenal pasti bagi operasi pusat itu kerana dijangka peti undi tiba lewat sekiranya dihantar ke pusat pengiraan utama, ” tambahnya.
Takun juga memberitahu, sebanyak 1,000 perahu digunakan bagi membawa peti-peti undi di kawasan hulu sungai ke PPUB selain menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan di setiap lokasi pengundian.
Mengenai pengundi yang tinggal jauh dari pusat pengundian, Takun berkata, SPR sudah menetapkan sekurang-kurangnya 30 pengundi berdaftar diperlukan sebelum pusat dibuka. “Terdapat 1,716 pusat pembuangan undi dibuka dengan kakitangan SPR tidak akan pergi ke kampung di pedalaman semata-mata untuk mendapatkan undi daripada tiga atau empat pengundi sahaja,” tegasnya sambil memberi alasan kos membabitkan penempatan jauh terlalu tinggi.
Begitu pun, katanya, para pengundi yang tinggal jauh dari pusat pengundian diminta agar keluar sehari atau dua hari lebih awal dengan menumpang di rumah saudara-mara atau rakan taulan terde-kat. Ini kerana, tegas beliau, ia bagi mengelakkan peng-undi berdaftar gagal menu-naikan tanggungjawab mereka untuk membuang undi.
Sehubungan itu, Takun memberitahu, pada pilihan raya umum kali ini SPR menyediakan peti undi baru berlut sinar manakala dakwat hitam akan digunakan.
Bagaimanapun, ini bergantung daripada arahan dikeluarkan oleh ibu pejabat SPR Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment