PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20090820

Sarawak: Telur penyu dijual secara haram

Bekalan diimport khas peniaga Indonesia

Dengan harga serendah 50 sen, orang ramai yang berkunjung ke Pasar Minggu Sempadan di Kampung Serikin, Bau, boleh menikmati makanan eksotik telur penyu yang diimport khas peniaga warga Indonesia dari Sambas, Kalimantan Barat.

Telur penyu berkenaan dibahagikan kepada dua gred dengan telur bersaiz besar berharga RM1 sebiji sementara yang lebih kecil berharga antara 50 sen hingga 80 sen namun ia bergantung pada musim dan permintaan semasa. Tinjauan Berita Harian di pasar berkenaan mendapati lebih banyak peniaga menggelengkan kepala ketika ditanya mengenai telur penyu, malah ada antara mereka kelihatan takut apabila dikaitkan dengan jualan makanan eksotik berkenaan.

Kebanyakan peniaga memaklumkan telur penyu tidak boleh dijual kepada anggota keselamatan Malaysia kerana mereka akan merampasnya walaupun pihak berkuasa Indonesia tidak pernah menghalang penjualannya di kalangan orang ramai.

Selepas menghabiskan masa hampir sejam di pasar berkenaan, seorang wanita berusia 30-an mengakui ada menjual telur penyu sebelum dia menunjukkan satu beg plastik hitam mengandungi telur penyu berjumlah 50 biji. Peniaga berkenaan yang hanya dikenali sebagai Masripoh berkata, dia berani mengambil risiko menjual telur penyu kerana harga di Sambas murah tetapi dia boleh membuat keuntungan mudah kepada pembeli dari Malaysia.

Katanya, dia mula menjual telur penyu di Pasar Minggu Sempadan di Tebedu, sebelum beralih ke Kampung Serikin sejak empat tahun lalu selepas mendapati pasar itu tidak lagi menarik perhatian pengunjung.

"Sekitar 2005, ramai peniaga di sini menjual telur penyu secara terbuka namun bermula tahun lalu, berlaku sekatan dengan pihak berkuasa Malaysia mula merampas telur penyu.

"Telur penyu dianggap biasa di Sambas kerana nelayan mengutipnya di pulau berdekatan kawasan Kalimantan Barat malah ketika musimnya, harga sebiji telur penyu turun serendah 20 sen sebiji," katanya ketika ditemui. Bagaimanapun peniaga Indonesia yang membawa telur penyu perlu membayar 'wang pelincir' kepada pihak tertentu di kawasan sempadan menyebabkan harganya terpaksa dinaikkan sehingga RM1 sebiji.

Ditanya mengenai cara mengelak pemeriksaan pihak berkuasa, Masripoh berkata, sebagai peniaga kecil-kecilan dia hanya menggunakan 'ojek' atau teksi motosikal untuk ke Kampung Serikin tanpa gangguan pihak berkuasa.

"Berniaga telur penyu sebenarnya tidak begitu menguntungkan kerana perlu membayar banyak wang pelincir menyebabkan kami hanya untung antara 20 sen hingga 30 sen sebiji. Difahamkan, akibat mengetahui telur penyu adalah bahan larangan, ada pihak tertentu mengenakan 'cukai' lebih tinggi kepada peniaga makanan itu dengan 'cukai' lebih rendah dikenakan kepada kain dan alat permainan.

Sebelum ini, Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh mendedahkan, Bau sebagai kawasan pengedaran haiwan terlindung membabitkan jualan daging babi hutan dan labi-labi.

Jika pengunjung berkunjung ketika cuti sekolah atau cuti umum, harganya boleh mencecah antara RM1 hingga RM1.50 berikutan permintaan meningkat atau bekalannya terhad.

Bagaimanapun bukan semua pengunjung boleh membeli telur penyu berkenaan kerana ia tidak dijual secara terbuka dengan hanya beberapa peniaga tertentu saja berani menjualnya berikutan ia dilindungi undang-undang perlindungan hidupan liar.

Namun bagi pengunjung yang rajin bertanya, peniaga berkenaan tidak akan teragak-agak membawa mereka ke bahagian belakang gerai tertentu tempat telur penyu berkenaan disorok di dalam stok jualan.

No comments: