6 Ogos 2009- Sarawak dijangka berhadapan dengan krisis bekalan air sekiranya hujan terus tidak turun di negeri ini selepas kali terakhir direkodkan berlaku dua minggu lepas.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan selepas beberapa paras sungai utama dan empangan di beberapa bahagian di negeri ini mula menunjukkan penurunan yang ketara.
Katanya, Lembaga Air Kuching (LAK) telah menyuarakan kebimbangan mereka selepas paras air Sungai Sarawak Kiri semakin merosot dengan begitu mendadak.
Beliau berkata, daerah kecil Simunjan dekat Samarahan juga telah mengalami catuan bekalan air bermula malam tadi manakala bahagian Sarikei juga akan berhadapan dengan situasi sama bermula esok.
''Sehubungan itu, kita meminta rakyat negeri ini supaya lebih berjimat cermat dalam penggunaan air seharian kerana sistem catuan air boleh dilaksanakan sekiranya keadaan semakin serius," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bekalan air bagi penduduk Sarikei hanya akan bertahan dalam tempoh dua minggu sekiranya hujan tidak turun manakala di Kuching ia berkemungkinan tahan lebih lama.
Hong Nam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Sarawak bagaimanapun memberi jaminan, masalah kekurangan air itu akan diatasi dengan operasi pembenihan awan dan bekalan air menggunakan lori tangki kepada penduduk yang terjejas.
Katanya, operasi pembenihan awan itu akan dilakukan pada Isnin depan dengan menggunakan kaedah baru iaitu 'flares' yang terbukti berkesan dari kaedah sebelum ini.
''Kehadiran angin 'morakot' pada tempoh yang sama dijangka akan membantu operasi pembenihan awan," katanya.
No comments:
Post a Comment