Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan menunggu sedikit masa lagi sebelum menurunkan harga runcit petrol dan menetapkan harga bahan api itu berdasarkan purata harga pasaran bulanan minyak mentah dunia.
Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus, Datuk Dr Mohamed Arif Abdul Kareem, berkata walaupun langkah kerajaan itu dianggap wajar bagi mengurangkan beban rakyat, ia perlu mengambil kira keadaan pasaran minyak mentah dunia yang masih tidak menentu.
“Lebih baik kerajaan tunggu sedikit masa sebelum melaksanakannya sehingga harga minyak mentah dunia berada pada paras lebih selesa dan menghasilkan formula lebih baik,” katanya pada Seminar Brown Bag MIER mengenai Ketidakstabilan Kewangan di Malaysia dalam tempoh 10 tahun di Kuala Lumpur, semalam.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan harga runcit petrol akan ditetapkan berdasarkan purata harga pasaran bulanan minyak mentah dunia mulai 1 September ini, dengan subsidi dikekalkan pada kadar 30 sen seliter.
Mengikut kaedah itu, harga runcit petrol akan diturunkan jika purata harga pasaran bulanan minyak mentah dunia susut ke bawah paras AS$125 setong, iaitu kadar ketika penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan kerajaan 4 Jun lalu. Mohamed Arif berkata, dalam tempoh sementara, langkah mengehadkan pemberian subsidi sebanyak 30 sen seliter dan membenarkan harga petrol minyak mentah dunia menentukan harga runcit petrol dilihat akan menyaksikan ketidaktentuan dalam pasaran.
“Harga runcit akan mengalami naik turun dan ini tentunya akan memberi masalah kepada pengguna. Untuk menurunkan harga (petrol) memang mudah, tetapi sukar untuk menaikkannya semula.
“Saya fikir harga minyak mentah dunia mampu terus turun bawah AS$100 setong. Kenaikan sebahagian besar dicetuskan aktiviti spekulasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment