PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100527

PEMBANGUNAN DI SARAWAK 2010 : RM5.72 bilion tingkat infrastruktur asas

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM5.72 bilion kepada Sarawak bagi mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (RBI) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, peruntukan tersebut bagi melaksanakan 19,205 Projek Jalan Luar Bandar (JALB), Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Projek Program Bantuan Rumah (PBR).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak menjelaskan, daripada jumlah tersebut sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 163 JALB manakala RM1.75 bilion pula untuk melaksanakan 1,977 BELB dan RM1.50 bilion bagi 321 projek BALB.

‘‘Bagi projek PBR pula, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM469.1 juta untuk melaksanakan 16,744 projek terbabit.

‘‘Di bawah NKRA ini, sepanjang 889 kilometer jalan luar bandar dijangka siap dibina pada hujung 2012 manakala liputan elektrik 24 jam di luar bandar akan meningkat daripada 64 peratus kepada 95 peratus.

‘‘Pada masa sama akses kepada bekalan air bersih atau air yang dirawat di luar bandar pula dijangka meningkat daripada 57 peratus kepada 90 peratus menjelang hujung 2012,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu Jabu berkata, di bawah NKRA bagi meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah (LIH) pula, penekanan diberikan kepada ketua isi rumah yang miskin dan miskin tegar yang didaftarkan dalam e-Kasih.

Jelasnya, kumpulan itu akan diberi bantuan yang sesuai di bawah projek dan program Satu Azam yang meliputi Azam Tani, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Kerja.

‘‘Pada tahun ini sejumlah RM120 juta telah dimohon menerusi program berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Jabu memberitahu, bagi memastikan semua projek dan program di bawah NKRA dilaksanakan dengan jayanya, kerajaan negeri menubuhkan NKRA-RBI Delivery Task Force dan Kumpulan Fokus Kemiskinan Negeri Sarawak dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Di samping itu menurutnya, kerajaan negeri juga memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan Aktiviti Fokus Utama (KFA) dan Perkhidmatan Negeri Bertaraf Dunia.

Jelasnya, program transformasi itu bukan sahaja memberi fokus kepada sistem penyampaian yang cemerlang dan berprestasi tinggi dalam melaksanakan pembangunan di Sarawak, bahkan ia juga merupakan landasan serta kerangka proses inovasi dalam perkhidmatan


Kerajaan negeri lulus RM500,000 biayai program sumber manusia


Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membiayai pelaksanaan program pembangunan sumber manusia luar bandar di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, projek yang dilaksanakan itu adalah kursus-kursus berkaitan penghayatan komputer dan program RIGHT iaitu Rural ICT Guided Home-Based Technopreneur Programme.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan melahirkan usahawan tekno desa dalam produk-produk yang berkaitan ICT.

''Pada tahun ini, kementerian akan menganjurkan sebanyak 24 siri pelbagai kursus penghayatan komputer dan satu siri Program RIGHT.

''Kita menyasarkan seramai 650 orang penduduk di kawasan luar bandar akan mengikuti latihan tersebut," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Jabu berkata, kementeriannya juga akan menganjurkan latihan atau kursus secara kerjasama melalui konsep rakan kongsi bijak dengan beberapa buah agensi Kerajaan Pusat dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) pada tahun ini.

Katanya, antara program tersebut adalah masing-masing satu siri Kursus RIGHT dan Khemah ICT Desa dengan kerjasama Sarawak Information System Sdn. Bhd. (Sains).

Selain itu tambahnya, Institut Kemajuan Luar Bandar (INFRA) bersetuju untuk melaksanakan dua siri pelbagai Kurus Pembangunan Insan Luar Bandar sementara Felcra juga bercadang menganjurkan satu siri Program Pembangunan Minda Insan luar bandar.

''Program itu akan membabitkan seramai 60 orang ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Pusat Sumber Pembangunan Desa (PSPD).

''Pada tahun ini juga, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersetuju untuk menganjurkan beberapa siri program peningkatan pendapatan rakyat luar bandar secara kerjasama dengan kementerian saya," katanya.


22 projek bangun kawasan industri

Kerajaan memperuntukkan RM1.02 bilion bagi melaksanakan 22 projek untuk membangunkan lebih banyak kawasan perindustrian di seluruh negeri dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, ia adalah usaha untuk menampung keperluan yang semakin meningkat daripada pelabur serta perusahaan kecil dan sederhana (SME).

''Kita akan melaksanakan kesemua projek ini secepat mungkin selepas bajet tersebut diluluskan.

''Ahli perniagaan, pemain industri dan usahawan perlu mengeksploitasi peluang-peluang yang diwujudkan oleh kerajaan ini," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Hong Nam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, Sarawak memerlukan penglibatan lebih banyak sektor swasta dalam membantu mempercepatkan proses pembangunan ekonomi di negeri ini.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sentiasa mengutamakan persekitaran perniagaan yang mesra pelabur dan proaktif bagi meningkatkan ekonomi negeri ini.

''Ia adalah satu langkah bagi memastikan Sarawak sesuai untuk pelaburan domestik dan asing," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementeriannya juga menerima geran berjumlah RM17 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina tiga unit tangki simpanan air tinggi di Sama Jaya.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan dimulakan pada Jun 2008 dan dijangka siap pada awal tahun depan.

Jelasnya, perkembangan kemajuan pembinaan sehingga April tahun ini berada pada tahap 58.32 peratus.

''Tangki simpanan di Sama Jaya itu akan meningkatkan simpanan air untuk tempoh 24 jam bagi keperluan industri berteknologi tinggi yang beroperasi di kawasan itu.

''Permintaan air sedia ada di Sama Jaya adalah kira-kira 18 mega liter setiap hari manakala tangki sedia ada hanya mampu menampung 4.5 mega liter air," katanya.



Sarawak terima pelaburan modal RM2.86 bilion membabitkan 48 projek


Sarawak menerima pelaburan modal sebanyak RM2.86 bilion membabitkan 48 projek dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, ia meliputi 17 projek dengan nilai pelaburan RM2.79 bilion yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala 31 projek berjumlah RM68 juta diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC).

Menurutnya, pelaburan itu banyak menumpukan kepada empat industri utama iaitu Produk Pengeluaran Makanan berjumlah RM1.62 bilion, Peralatan Elektrik dan Elektronik (RM710 juta), Produk Berasaskan Logam (RM369 juta) dan Produk Peralatan Pengangkutan (RM82 juta).

''Daripada jumlah RM2.86 bilion itu, RM2.2 bilion atau 77 peratus merupakan pelaburan langsung asing manakala RM650 juta (23 peratus) adalah pelaburan domestik," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Hong Nam berkata, Taiwan merupakan sumber utama yang menyumbang kepada pelaburan RM1.12 bilion iaitu dalam Industri Makanan (Tanjung Manis-Taiwan Food Park Sdn. Bhd.).

Katanya, ia diikuti oleh Amerika Syarikat dengan pelaburan RM710 juta dalam Industri Elektronik (MEMC Kuching Sdn. Bhd.) dan Jepun berjumlah RM350 juta dalam Industri Berasaskan Logam (Asia Mineral Ltd).

''Kita yakin pembangunan pelbagai projek di negeri ini akan menarik lebih banyak rangkaian perindustrian dan industri sokongan ke Sarawak sekali gus menyediakan peluang yang luas untuk aktiviti huluan dan hiliran," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaburan MEMC, Hong Nam memberitahu, pelaburan syarikat tersebut menandakan permulaan teknologi baru di Sarawak untuk menuju kepada industri lebih inovatif dan mempunyai nilai tambah.

Menurut beliau, pelaburan MEMC dalam industri solar akan menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kepakaran negeri ini berkaitan industri berteknologi tinggi.

''Ia akan menjadi pemangkin kepada pelabur asing lain di samping dan membantu menarik pemain industri wafer silikon melabur di negeri ini," jelasnya.

No comments: