PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20091009

Projek lulus 14 hari

Tempoh kelulusan permohonan bagi semua projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kini dipercepatkan kepada 14 hari berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata langkah berkuat kuasa serta-merta itu diputuskan selepas mendapat persetujuan Kabinet menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Negara pada April lalu dan Mesyuarat Majlis Negara, bulan lalu.

Beliau berkata, semua projek yang sebelum ini diuruskan dan diselia oleh JKR tidak perlu lagi dikemukakan kepada Pusat Setempat PBT untuk mempercepatkan pemerosesan.
Katanya, urusan mengemukakan senarai cadangan projek, pelan dan dokumen berkaitan kepada Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri (JPN) juga dibuat sendiri oleh JKR.

Selain itu, rundingan mengenai perkara teknikal projek yang dikemukakan melalui JKR akan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal JPN melalui mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Pengarah JPN bersama PBT, Pejabat Tanah dan Galian, JKR, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Indah Water Konsortium, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, badan berkuasa air negeri dan jabatan teknikal lain yang berkaitan.

"Pengarah JPN yang juga setiausaha jawatankuasa itu perlu mengadakan rundingan dalam tempoh tidak melebihi 14 hari selepas menerima senarai projek yang mengandungi maklumat perancangan lengkap daripada JKR.

"Kita harap proses ini akan memberikan lebih banyak kemudahan kepada pemaju, manakala JKR mudah untuk memantau projek yang dilaksanakan," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri kementeriannya, di sini semalam.

Shaziman berkata, langkah itu untuk memastikan tidak timbul masalah kelewatan dalam melaksanakan projek dan kegagalan menyiapkan projek sehingga menyulitkan pelbagai pihak.

Ia juga bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan gagasan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan' berjaya dicapai.

"Kita kenal pasti kelewatan kelulusan disebabkan beberapa perkara. Jadi, kita sudah mencapai kata sepakat menggantikan prosedur yang kita gunakan sebelum ini," katanya.

No comments: