Media luar cuba putar belit fakta kelirukan orang ramai
Kerajaan menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pembukaan kawasan baru bagi tujuan perladangan kelapa sawit di negeri ini menyebabkan haiwan seperti orang utan berhadapan ancaman kepupusan.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Len Talif Salleh, berkata dakwaan itu adalah tidak berasas kerana semua kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat orang utan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang di bawah peruntukan Kawasan Terlindung Sepenuhnya di Sarawak.
Katanya, kebanyakan dakwaan berkenaan dikeluarkan oleh media luar yang memberi gambaran negatif, memutarkan belitkan fakta sehingga timbul kekeliruan terhadap orang ramai mengenai usaha pemuliharaan hidupan luar di negeri ini.
"Pada masa ini, kita mempunyai tiga kawasan terlindung sepenuhnya bagi memulihara haiwan berkenaan iaitu di Sanktuari Hidupan Liar Lanjak Entimau, Taman Negara Batang Ai dan Taman Negara Ulu Sebuyau yang mempunyai keluasan keseluruhan 250,000 hektar.
"Kawasan ini adalah bukti kukuh bagi menjawab dakwaan palsu yang menyatakan perladangan kelapa sawit menyebabkan kehilangan habitat orang utan. Semua kawasan terbabit adalah kawasan terlindung sepenuhnya dan tidak boleh diteroka bagi tujuan komersil," katanya ketika berucap pada Majlis Heart to Heart with Orang Utan di sini, semalam.
Teks ucapan Len dibacakan oleh Pengurus Besar, Pusat Hidupan Liar Matang, Wilfred Landong.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Biro Konvensyen Sarawak (SCB), Jill Henry. Len berkata, pihaknya menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) sudah merangka beberapa aktiviti bagi melindung dan memulihara Orang Utan seperti mengadakan rondaan lebih kerap di semua habitat utama haiwan berkenaan.
Malah katanya, Sarawak turut menjalin hubungan kerjasama dengan Indonesia dengan menubuhkan Kawasan Pemuliharaan Biodiversiti Rentas Sempadan yang meliputi kawasan seluas 1 juta hektar bagi memastikan orang utan dan hidupan liar lain selamat.
"Menerusi pemantauan habitat berkenaan dari semasa ke semasa, ia menunjukkan penemuan yang menggalakkan di habitat utama orangutan seperti di Sanktuari Hidupan Liar Lanjak Entimau dan Taman Negara Batang adalah stabil.
"Setakat ini aktiviti pemuliharaan orangutan terus dipergiatkan seperti mengadakan kerja pemuliharaan di pusat hidupan liar di Semenggoh dan Matang dengan pada masa ini seramai 17 bayi orangutan dilahirkan di pusat berkenaan, 13 di Semenggoh dan empat lagi di Matang," katanya.
Mengenai program Heart to Heart with Orangutan, Len berkata, ia memberi peluang kepada peserta mendekati habitat haiwan berkenaan dengan lebih dekat dengan pada masa sama, turut melakukan kerja pemuliharaan seperti membersih kandang, penyediaan makanan dan program perkembangan minda orangutan.
No comments:
Post a Comment