PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20090705

Perubahan garis panduan FIC cabaran baru buat Bumiputera

Sasaran orang Melayu kuasai 30 peratus ekonomi masih dikekal kerajaanSEORANG sahabat mengeluh mengenangkan nasib orang Melayu apabila menurutnya, kuota 30 peratus Bumiputera yang menjadi asas agenda Dasar Ekonomi Baru dihapuskan baru-baru ini.

Sama ada kenyataannya betul atau tidak atau separuh betul, ia tidak penting. Yang jelas kenyataan itu terhasil daripada hanya membaca tajuk berita tanpa memahami isi kandungan seterusnya.

Mungkin salah media massa kerana tidak melapor sebaiknya, atau kerajaan kerana tidak memberi penjelasan sepenuhnya. Ataupun kemarahan itu diilhamkan oleh politik, kerana kawan saya memang tidak suka Barisan Nasional (BN) dan Umno dan menganggap tiada langsung perkara baik daripada kedua-duanya selama 52 tahun pemerintahan? Namun, jika difikirkan, tidak logik kepemimpinan Melayu akan meluputkan hak bangsanya tanpa pengganti yang sekurang-kurangnya sama nilainya atau lebih baik. Keresahan kawan saya berpunca daripada pelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (Foreign Investment Committee) atau FIC. Antara lain, tugas FIC sebelum ini ialah membantu agenda ekonomi Bumiputera dengan memastikan 30 peratus saham terbitan awam syarikat yang hendak disenarai mestilah dikhaskan untuk Bumiputera.

Oleh kerana peraturan FIC itu, banyak syarikat, pertubuhan atau perseorangan Bumiputera dijadikan rakan kongsi dan ditawarkan 30 peratus pegangan dengan harga yang rendah, dalam syarikat yang bakal disenarai. Mereka juga mungkin menjadi ahli lembaga pengarah dan kadang-kadang ahli pengurusan. Ramai Melayu dan Bumiputera menjadi kaya daripada polisi yang pada asasnya hanya memerlukan mereka menunjuk surat beranak untuk menjadi ahli korporat. Bagaimanapun, dalam dua dekad yang berlalu pegangan ekuiti Bumiputera di syarikat awam masih pada tahap 19 peratus, manakala pegangan asing meningkat hampir lima peratus, kepada 30 peratus. Ada yang sedih nilai pegangan ekuiti Melayu hanya tinggal RM2 bilion, walaupun RM54 bilion sudah diagih sejak 1985. (Saya berasa tiada perlu kita terlalu kecewa dan bimbang dengan penyusutan pegangan Bumiputera, kerana jika dilihat dari sudut lain, RM52 bilion sudah masuk dan menular dalam ekonomi masyarakat Bumiputera selama dua dekad dan sedikit sebanyak ini membantu).

Berbanding dengan pasaran muram hari ini, mungkin wajar pegangan ekuiti dijual pada harga yang tinggi. (Adalah juga tidak benar Melayu tidak berjimat atau menabung. Lihat saja berbilion-bilion ringgit dalam saham amanah dan Tabung Haji. Tetapi ini cerita untuk lain masa). Apa yang jelas, garis panduan FIC itu sudah ditelan zaman dan sebagai perkakas untuk agenda ekonomi Bumiputera, ia semakin tumpul.

Kesan dan pengaruhnya pun diragui. Ini terutama kesan daripada tindakan pasaran. Sejak harga saham yang ditawarkan kepada orang awam ditentukan menurut kuasa pasaran beberapa tahun lalu, premium daripada lonjakan harga di hari-hari awal penyenaraian di bursa semakin nipis. Contohnya, jika saham sebuah syarikat dinilai RM2 dan ditawarkan kepada orang ramai dan Bumiputera sebanyak RM1.80 sesaham, premium pada hari penyenaraian mungkin 10 atau 15 peratus. Jika dulu, tawaran mungkin RM1 sesaham; bayangkan untung siapa yang diberi saham berkenaan. Tetapi kini, sudahlah tawaran berharga tinggi, ada kalanya pasaran lembap boleh menyebabkan kerugian pada penyenaraian. Bagi Bumiputera yang diberi peluang memegang 30 peratus saham sesebuah syarikat ia akan menjadi masalah besar, terutama jika langganan dibiayai dengan pinjaman yang berjuta-juta ringgit. Saham tidak naik, hutang bertambah.

Sudahlah begitu, dengan 30 peratus dia tidak boleh berbuat apa-apa. Dia diletak sebagai lembaga pengarah, tetapi tidak di pengurusan. Cuma tunggu dividen saja, itu pun jika ada. Kini makin kurang Bumiputera yang mampu, atau mahu, melanggan kuota 30 peratus yang disediakan. Dan tanpa rakan Bumiputera, hampir mustahil syarikat boleh disenaraikan di bursa.

Akhirnya ekonomi negara lambat berkembang. Talam hidangan yang mengandungi habuan Bumiputera juga jarak dan kosong dan agenda ekonomi Melayu tidak tercapai, juga. Di kala era liberalisasi dan globalisasi, garis panduan FIC itu nampaknya lebih memberi masalah dan bukannya membawa penyelesaian. Syarikat bukan Bumiputera susah hendak berkembang, manakala pelabur asing, digoda destinasi baru seperti Vietnam, China dan India, semakin liat hendak ke sini. Persepsi negatif ini memberi rintangan kepada perkembangan ekonomi. Kerajaan kini berpendapat adalah lebih baik saiz ekonomi diperbesar, supaya banyak boleh diagihkan dan pendapatan rakyat dapat ditingkatkan. Jika FIC dilonggarkan, kesannya kepada suasana pelaburan negara mungkin baik.

Kerajaan juga berpendapat adalah lebih penting agenda ekonomi Bumiputera mempunyai satu lagi senjata, selain daripada Permodalan Nasional Bhd, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan lain-lain. Masalah utama Bumiputera sekarang bukanlah kehilangan kuota 30 peratus. Lebih penting ialah bagaimana hendak memberi Melayu dan Bumiputera akses ke dalam syarikat-syarikat persendirian yang secara kolektif adalah jentera sebenar ekonomi negara.

Pegangan Bumiputera kini banyak bertumpu di syarikat-syarikat tersenarai di bursa, iaitu 36 peratus daripada RM200 bilion pada 2004. Pada masa sama, pegangan Bumiputera di syarikat milik persendirian hanyalah lapan peratus daripada RM330 bilion. Ekuiti Nasional Berhad atau Ekuinas yang bakal ditubuhkan, diarah mengenal pasti syarikat persendirian yang berpotensi dan maju dengan tujuan membeli majoriti saham firma itu.

Di dalam perniagaan, jika ada tawaran yang baik, syarikat siapa pun boleh dibeli. Ekuinas kemudian akan memasukkan pengurus dan pekerja Bumiputera yang layak, untuk dilatih mengendalikan perniagaan dan kerja yang sebelum ini tidak terbuka kepada mereka. Analogi yang selalu diberi ialah lebih baik mempunyai tiga hotel sepenuhnya, di mana kita boleh buat apa saja, berbanding pegangan 30 peratus di dalam 10 hotel di mana pengurusan dan arah tuju ditentukan orang lain.

Model baru ekonomi ini bukan saja melihat isu ekuiti, malah membuat penilaian yang lebih bermakna mengenai jenis ekuiti atau pegangan. Kita tidak boleh dibelenggu rasa kecewa dan sinis bila saja ekonomi Melayu dan Bumiputera dibincangkan. Terlalu banyak masa dihabiskan marahkan orang lain atau kerajaan.

Model baru ini meminta kita beranjak daripada terlalu mengidam kuota 30 peratus yang nilainya semakin kurang dan diragui. Bunyinya memang menakutkan, tetapi sebenarnya tiada apa yang rugi dengan kelonggaran syarat FIC ini.

Bagaimanapun, secara amnya, sasaran Bumiputera menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus keseluruhan ekonomi masih kekal. Cuma kini, alatan dan senjata dipelbagai.

No comments: