PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20090625

Sagu makanan tradisi Melanau

Ada di kalangan masyarakat Melanau menamakan makanan ini sebagai 'sagu' dan ada juga yang menyebutnya sebagai 'bulu'.
Apa yang pasti dua istilah itu merujuk kepada benda yang sama, iaitu sejenis makanan tradisional suku kaum Melanau di Sarawak.
Dahulu makanan berbentuk bebola dan sebesar saiz kacang itu merupakan makanan ruji komuniti tersebut.
Difahamkan ketika Jepun menakluk Sarawak dalam awal tahun 1940-an, ia merupakan antara makanan ruji penduduk di kawasan Mukah, dekat sini.
Mungkin disebabkan bahan untuk menghasilkan sagu mudah diperoleh di Mukah, Dalat dan Oya, ia menjadi makanan ruji ketika itu.
Bahagian Mukah yang terletak di wilayah tengah Sarawak merupakan kawasan penanaman terbesar pokok sagu.
Seorang pembuat sagu, Cicie Ilul, 56, berkata, proses menghasilkan sagu sebenarnya bukan mudah.
Ia diproses di rumah khas yang dipanggil rumah belanga oleh penduduk tempatan.
''Sebagai pembuat sagu kami perlu menahan panas kerana rumah belanga sengaja dibina tanpa ruang pengudaraan yang elok.
''Ini membolehkan suhu di dalam rumah belanga sentiasa panas bagi memastikan biji sagu yang dipanggang cepat masak," katanya ketika ditemui di Dalat, dekat sini baru-baru ini.
Lazimnya, dia menyewa rumah belanga kerana tidak semua pengusaha makanan itu mampu membinanya.
''Sewa belanga dikira melalui jumlah sagu yang dihasilkan. Misalnya kita menghasilkan sagu sebanyak 10 kilogram, maka sewa adalah RM2," katanya.
Ini bermakna sewa bagi setiap sekilogram sagu ialah 20 sen.
Sagu yang dihasilkan biasanya untuk keperluan harian Cicie sekeluarga dan lebihan makanan itu akan dijual pada harga RM8 sekilogram.
''Saya tidak menjual dalam jumlah yang banyak kerana saya membuat sagu secara sampingan.
''Memang ada di kalangan pembuat sagu di sini yang sudah menceburi bidang ini secara komersial," katanya.
Sementara itu, Ibong Ilul, 45, berkata, tepung lemantak, habuk padi dan kelapa parut merupakan ramuan yang diperlukan untuk menghasilkan sagu.
Menurutnya, tepung lemantak diperoleh daripada isi pokok rumbia yang banyak ditanam di sekitar daerah Dalat dan Mukah.
Campuran bahan-bahan itu akan diayak di dalam rawa khas.
Setelah diayak beberapa ketika, tepung itu akan berbentuk bulat menjadi sagu.
''Campuran bahan-bahan dibentuk menjadi bebola kecil dan ia perlu dipanggang menggunakan api yang kuat dan stabil. Sagu itu akan masak dalam masa setengah jam," katanya.
Tempat memanggang itu dikenali sebagai belanga dan diperbuat daripada tanah liat.
Ibong berkata, kerja membuat sagu memerlukan sekurang-kurangnya dua orang kerana mengayak bahan-bahan tersebut bukannya mudah.
Setiap daripada mereka akan memegang bucu rawa yang digunakan untuk mengayak bahan-bahan.
''Kadang-kadang ketika menunggu sagu untuk masak, ada yang diperlukan untuk menjaga api dan menggaul bebola sagu," katanya.

Sagu produk industri desa 'Sarawak Best'

Kerajaan giat membangunkan industri desa dengan harapan ia dapat menambah pendapatan di kalangan penduduk kampung.Di Sarawak antara produk desa yang mampu dikomersialkan ialah sagu. Ia merupakan makanan tradisional yang unik di kalangan masyarakat Melanau.

Meskipun pernah menjadi makanan ruji masyarakat Melanau satu ketika dahulu, ia kini merupakan makanan ringan yang enak dimakan dengan ikan bilis serta kacang goreng.

Melihat potensi sagu dalam bidang komersial, kerajaan negeri turut menyenaraikan produk industri desa itu dalam barisan produk 'Sarawak Best'.

'Sarawak Best' yang wujud sejak September 2006 merupakan program untuk meningkatkan mutu produk industri desa.

Menerusi program itu kerajaan berharap industri desa dapat meningkatkan kualiti serta mempunyai potensi untuk dipasarkan secara besar-besaran.

Laman web 'Sarawak Best' menyenaraikan 34 produk di bawah penjenamaan 'Sarawak Best' yang merangkumi makanan ringan, kraf tangan dan cenderamata.

Bagaimanapun, tidak semua pengusaha pembuat sagu memperoleh pengiktirafan 'Sarawak Best'.

Pada masa ini, jenama Sagu Medong merupakan satu-satunya produk sagu yang mencapai tahap kualiti, sekali gus layak menerima pengiktirafan 'Sarawak Best'.

Produk berkenaan diusahakan oleh Masinah Paris dari Kampung Medong, Dalat.

Peluang untuk meningkatkan populariti makanan tradisional itu sudah pasti digunakan sebaik mungkin oleh pengusaha makanan sagu menerusi Karnival Balau Dalat 2009.

Karnival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Julai ini antara lain diadakan dengan tujuan mempamerkan produk yang diperbuat daripada pokok rumbia.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, karnival berkenaan dijangka mampu menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

''Karnival ini diadakan untuk mengukuhkan industri berasaskan sagu. Ini juga peluang kepada pengusaha industri desa berasaskan sagu untuk mempamerkan produk seperti bebola sagu kepada orang luar," katanya baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Jenal Abidin yang berada di Dalat baru-baru ini turut berkesempatan menikmati bebola sagu.

Menurut Jenal, 30, keenakan sagu terletak pada rasa lemaknya dan jika dipromosikan dengan cara yang betul sagu dapat diketengahkan di pasaran luar.

No comments: