SERAMAI 56,761 graduan berjaya dilahirkan menerusi 78 institusi pendidikan dan latihan di Sarawak dalam tempoh 2001 hingga 2008, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Daripada jumlah berkenaan kata beliau, sebanyak 85 peratus atau 48,357 orang adalah graduan dari Sarawak. Empat daripada institusi berkenaan adalah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), enam Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), 43 Institut Pengajian Awam (IPA) dan 25 Institut Pengajian Swasta (IPS), dengan jumlah pengambilan 90,935 orang sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi memenuhi keperluan tenaga kerja teknikal dan mahir, terdapat 13 Institut Latihan Teknikal, Vokasional dan Kemahiran, meliputi dua Politeknik, dua Institut Latihan Perindustrian (ILP), sebuah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan tiga Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS).
"Dari tahun 2001 hingga 2008 juga, institusi-institusi ini telah melahirkan seramai 29,832 lulusan, yang mana 27,760 atau 93 peratus berasal dari Sarawak," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari keenam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Memandangkan jumlah lulusan yang dikeluarkan oleh institusi sedia ada tidak dapat menampung jumlah tenaga kerja teknikal dan mahir, kerajaan negeri merancang menambah Institut Latihan Teknikal, Vokasional dan Kemahiran, ke arah melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Awang Tengah juga berkata, berikutan peluang pekerjaan yang terhad susulan krisis ekonomi global, kerajaan negeri akan mengadakan program latihan pemerkasaan keupayaan siswazah melalui proses latihan semula. Ia bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk meningkatkan peluang bagi mendapatkan pekerjaan.
"Peruntukan sebanyak RM70 telah diluluskan oleh Dewan ini yang sebahagian besarnya adalah untuk pembayaran elaun bagi 4,000 peserta progarm mulai Jun 2009 hingga 2011," katanya sambil menambah kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai program ini.
No comments:
Post a Comment