Sejumlah RM500.8 juta dikeluarkan oleh 93,914 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Skim Pengeluaran Kesihatan, sejak ia diperkenalkan pada November 1994 hingga bulan lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, anggota yang mengeluarkan caruman di bawah skim ini sebahagian besarnya adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan (71 peratus), pendapatan RM2,500 hingga RM4,999 sebulan (17 peratus), pendapatan RM5,000 hingga RM9,999 (sembilan peratus) dan pendapatan lebih RM10,000 (tiga peratus).
"Skim Pengeluaran Kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga KWSP bertujuan untuk membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal yang dihadapi ahli dan tanggungan ahli yang dibenarkan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Senator Zamri Yusuf, di Dewan Negara hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tahun lepas, bilangan pencarum yang membuat pengeluaran ialah 4,601 orang dengan amaun pengeluaran sebanyak RM37.3 juta.
Manakala, sehingga Jun tahun ini, seramai 1,794 pencarum telah membuat pengeluaran dengan amaun pengeluaran sebanyak RM14.4 juta. – Bernama
No comments:
Post a Comment