PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100726

Hotel bertaraf tiga bintang ke atas di Sarawak miliki sijil halal

25 Julai 2010 - Semua hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas di negeri ini telah memiliki sijil halal sah yang semuanya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Sehubungan itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, umat Islam di negeri ini tidak perlu berasa ragu-ragu ketika makan di restoran hotel-hotel berkenaan termasuk berbuka pada bulan Ramadan.

Menurutnya, apa yang berlaku di Semenanjung berkaitan logo sijil halal malah ada yang dikeluarkan oleh pihak swasta tidak berlaku di negeri ini.

Namun, katanya, orang ramai masih dinasihatkan melihat terlebih dahulu latar belakang restoran yang ingin dikunjungi jika berasa ragu-ragu.

''Bagi kes di Semenanjung, terdapat premis makanan termasuk di hotel-hotel belum memperoleh sijil halal malah ada antaranya menggunakan sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak swasta yang kemungkinan tidak mengikut prosedur pemeriksaan yang betul ketika mengeluarkan sijil berkenaan.

''Bagi di Sarawak, JAIS akan sentiasa memantau premis makanan di negeri ini bagi memastikan pengusahanya tidak menyalahgunakan logo sijil halal yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai logo sijil halal terutamanya membabitkan premis hotel-hotel yang berhasrat untuk menyediakan jamuan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Dalam itu, Daud menegaskan bahawa masalah kekurangan pegawai penguat kuasa dalam JAIS tidak menjadi penghalang kepada usaha memantau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan logo halal untuk menarik pelanggan khasnya masyarakat Islam.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu pihak berkuasa untuk menyalurkan apa-apa maklumat jika mendapati berlaku penyelewengan oleh peniaga makanan dan minuman.

Dalam perkembangan lain, Daud meminta kesemua 1,200 masjid dan surau di seluruh negeri ini memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti malam sepanjang Ramadan.

''Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan memperuntukkan RM1,000 bagi setiap masjid dan surau di negeri ini bagi melaksanakan aktiviti pada Ramadan dengan jumlah keseluruhan adalah RM1.2 juta.

''Kita tidak mahu pada awal Ramadan, orang ramai datang ke masjid dan surau, namun bila tiba penghujung, surau dan masjid menjadi kosong sedangkan 10 hari terakhir Ramadan adalah hari yang penting bahkan pada masa itu aktiviti harus diperbanyakkan," katanya.


Denda melebihi RM250,000

Denda lebih tinggi melebihi RM250,000 akan dikenakan terhadap pengusaha restoran dan kopitiam yang menipu penggunaan logo halal dalam menjalankan perniagaan mereka.

Perkara tersebut terkandung dalam pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini yang menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengusaha terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu membuktikan bahawa kerajaan begitu tegas terhadap mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan berkaitan perkara itu.

Menurut beliau, hukuman sedia ada iaitu denda RM100,000 terhadap individu dan RM250,000 terhadap syarikat serta masing-masing tiga tahun penjara agak rendah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Tindakan itu adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada pengusaha kopitiam dan restoran supaya tidak menipu pengguna dengan mempamerkan logo halal tetapi makanan yang dijual adalah sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Wanita Bera Berhad (Kowada) di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal.

Kopitiam yang mendapatkan sijil halal daripada syarikat swasta itu telah diserbu oleh Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Ismail Sabri menjelaskan, pindaan akta tersebut membolehkan denda yang dikenakan lebih tinggi berbanding sebelum ini dan tempoh hukuman penjara akan turut dinaikkan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pindaan akta tersebut diluluskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini bagi mengelakkan masalah tersebut berulang pada masa depan.

Tegasnya, akta berkenaan bukan sahaja melibatkan pengusaha kopitiam dan restoran tetapi juga syarikat yang membawa produk makanan dengan menggunakan logo halal negara lain yang diperiksa kesahihannya oleh Jakim dan jabatan agama Islam di setiap negeri.

“Isu makanan halal ini adalah sensitif dan sepatutnya pengusaha terbabit mengambil berat mengenai perkara ini,” katanya.

No comments: