PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100406

RM2.44b biasiswa pelajar

5 April - Kerajaan memperuntukkan RM2.44 bilion untuk meneruskan penajaan biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) membabitkan 12,000 pelajar.

Jumlah tersebut termasuk 3,500 penerima baru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang akan ditawarkan berdasarkan empat kategori pemilihan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, menerusi PILN, RM1.4 bilion diperuntukkan iaitu RM1.2 bilion untuk penajaan pengajian ijazah pertama membabitkan 1,500 pelajar cemerlang SPM 2009 manakala RM42.4 juta lagi bagi membiayai kursus persediaan.

Jelasnya, tumpuan penajaan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta bidang sains sosial yang diperlukan perkhidmatan awam dan negara.

Kata beliau, bagi PIDN pula, RM541.8 juta diperuntukkan untuk meneruskan penajaan biasiswa kepada 8,500 penerima sedia ada manakala RM659 juta lagi kepada penerima baru.

Menurutnya, penerima baru itu membabitkan 2,000 pelajar cemerlang SPM 2009 termasuk penajaan pengajian persediaan dan peringkat prauniversiti iaitu diploma atau sijil di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan serta kampus-kampus cawangannya.

"Kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan penajaan biasiswa bagi PILN tahun 2010 kepada pelajar lepasan SPM 2009. Selain itu, kerajaan turut menaja pelajar cemerlang ke IPT tempatan untuk menyokong dasar meningkatkan keupayaan serta memartabatkan IPT tempatan ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembelajaran.

"Program penajaan ini bertujuan menyediakan biasiswa yang berprestij untuk pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang bagi melahirkan modal insan berkualiti untuk menjamin kesinambungan keupayaan negara pada masa akan datang," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran tiba di sini awal pagi ini untuk menghadiri Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang akan berlangsung di ibu pejabatnya di sini esok dan Rabu.

Menurut Muhyiddin, antara kategori pemilihan penerima biasiswa PILN adalah kecemerlangan akademik iaitu 20 peratus daripada keseluruhan tempat dengan kriteria pemilihan calon berdasarkan 85 peratus pencapaian akademik, kokurikulum (10 peratus) dan temuduga (lima peratus).

Katanya, selain itu adalah kategori mengikut populasi kaum membabitkan 60 peratus daripada keseluruhan tempat dalam PILN dengan kriteria pemilihan calon berdasarkan 75 peratus pencapaian akademik, masing-masing 10 peratus kokurikulum dan sosioekonomi serta lima peratus menerusi temuduga.

Tambahnya, kategori ketiga pula bumiputera Sabah dan Sarawak sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan tempat dengan kriteria pemilihan calon berdasarkan 65 peratus pencapaian akademik, 25 peratus sosioekonomi serta masing-masing lima peratus kokurikulum dan temuduga.

"Satu lagi kategori ialah golongan socially disadvantaged sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan tempat dalam PILN dengan kriteria pemilihan calon berdasarkan 65 peratus pencapaian akademik, 25 peratus sosioekonomi serta masing-masing lima peratus kokurikulum dan temuduga," jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi permohonan PILN 2010, JPA menerima 18,844 permohonan dan daripada jumlah tersebut 10,114 permohonan diterima daripada kalangan calon yang melepasi syarat atau gred minimum yang telah ditetapkan mengikut bidang pengajian.

"Peningkatan bilangan calon SPM tahun lalu berbanding 2008 calon ini menjadikan penajaan biasiswa JPA menerusi PILN 2010 lebih kompetitif.

"Dua bidang yang paling popular di kalangan calon adalah kejuruteraan dan perubatan manakala negara pengajian pilihan majoriti adalah United Kingdom, Australia dan New Zealand," jelasnya.

Beliau memberitahu, 847 tempat disediakan bagi pelajar yang memohon bidang perubatan, pergigian dan farmasi di pelbagai negara antaranya Australia, New Zealand, India, Republik Czech, Poland dan program berkembar di Penang Medical College, Melaka Manipal Medical College dan International Medical University.

Tambahnya, bagi bidang kejuruteraan, 410 tempat disediakan di Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan lain-lain manakala bakinya dalam bidang-bidang keutamaan dan strategik lain.

Jelasnya, 100 penajaan disediakan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009 yang memilih mengikuti pengajian bidang kritikal ke empat universiti penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

"Pelajar-pelajar ini akan menerima kadar elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar Biasiswa Persekutuan sedia ada di dalam negara," katanya. - UTUSAN

No comments: