PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100415

Pendatang asing ubah wajah Malaysia

JIKA kita makan di kedai mamak, pasti kita akan memesan makanan daripada pendatang asing. Begitu juga, jika kita makan di medan selera, kita akan berjumpa dengan pendatang asing yang mengambil pesanan. Jika kita menaiki pengangkutan awam pula, kita pasti akan bersesak-sesak dengan pendatang asing. Pendek kata, keluar rumah sahaja, kita akan berselisih dengan warganegara asing.

Tertarik dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam semalam dalam akhbar tempatan bahawa had pekerja asing akan dikurangkan kepada 1.5 juta. Rakyat Malaysia kini dikelilingi oleh pekerja asing sehingga memeningkan kepala. Malah pembantu rumah kita juga, terdiri daripada pekerja asing. Saya tidak pasti kenyataan Subramaniam itu merupakan berita gembira atau sekadar kenyataan akhbar semata-mata. Bagi rakyat, isu pendatang asing ini adalah isu yang pasti sukar diramal kerana Malaysia sangat bergantung kepada mereka.

Mengehadkan pekerja asing bukanlah satu isu utama kepada rakyat. Sebaliknya, rakyat lebih memikirkan jumlah pendatang asing yang datang secara haram. Ramai penjenayah yang dikehendaki di negara asal mereka lari ke negara ini dan bekerja secara haram. Kes jenayah di negara ini meningkat sejak kebanjiran pendatang asing.

Pendatang asing melimpah ruah di bumi Malaysia kerana kemakmuran ekonomi kita yang menjanjikan kehidupan lebih selesa berbanding dengan negara asal mereka. Mereka sanggup meredah ombak dan bergadai nyawa untuk memasuki Malaysia secara haram semata-mata untuk hidup senang.

Isu sempadan kita bolos keluar masuk pendatang haram telah lama diperkatakan. Buktinya bagaimana lelaki Lombok boleh melarikan anak gadis Malaysia dengan begitu mudah. Penguatkuasaan dan perundangan kita hanyalah simbol dokumentasi, sedangkan pelaksanaannya belum tentu dapat menyelesaikan masalah. Banyak faktor menyebabkan pelaksanaan ini gagal, antaranya menjaga hati negara jiran.

Persoalannya, bagaimana jumlah ini semakin bertambah dari sehari ke sehari, walaupun aduan dan rungutan disuarakan oleh rakyat melalui surat khabar dan televisyen. Apa kelemahan yang wujud di dalam agensi berkaitan sehinggakan perkara ini terjadi? Bagaimana pihak imigresen dan PDRM boleh berdiam diri terutama di pintu masuk negara?

Ini sesuatu yang tidak boleh diterima akal kerana banyak menteri telah mengambil pelbagai langkah tetapi sempadan kita tetap mudah bolos. Lebih membimbangkan jumlah pendatang asing dan haram itu melebihi jumlah penduduk India di negara ini.

Apa yang saya lihat, kerajaan Malaysia banyak berlembut dan berdiplomasi mengenai isu pendatang asing. Kita gagal menguruskan mereka dengan baik sehinggakan jenayah di kalangan mereka semakin hebat.

Selain itu, mereka juga telah membina perumahan sendiri dengan sesuka hati. Mereka membina rumah di dalam hutan dan di mana-mana sahaja dan hidup dalam penempatan mereka sendiri seperti sebuah kem atau markas.

Penempatan mereka itu pula bukan sahaja mencacatkan pemandangan mata, malah menimbulkan curiga penduduk tempatan. Adakah pihak tertentu membuat pemeriksaan secara berkala di rumah-rumah kongsi itu. Rakyat risau jika rumah-rumah pendatang asing suatu hari nanti akan menjadi pusat penjenayah dan pembiakan masalah sosial.

Selain itu, ketelusan pengeluaran permit pengambilan pekerja asing boleh dipertikaikan kerana kerajaan telah beberapa kali membekukan kemasukan pekerja asing dari beberapa negara tetapi secara senyap-senyap, ada pula dalang yang bersekongkol dan memberikan kelulusan secara senyap. Pihak SPRM harus menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan integriti dan maruah negara. Mungkin ada orang dalam terlibat dengan masalah ini untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Hari ini, saya melihat wajah Malaysia telah berubah disebabkan kebanjiran pendatang asing. Jika dahulu, rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dengan kadar jenayah yang rendah. Tetapi hari ini, kita seringkali mendengar polis menembak mati penjenayah dari kalangan pendatang asing, manakala kes kecurian seringkali dilaporkan di balai polis. Jika situasi ini berterusan, sudah pasti industri pelancongan Malaysia akan terjejas kerana pelancong asing risau risiko keselamatan mereka.

Saya amat berharap agar Kementerian Dalam Negeri bertindak tegas kerana kebocoran sempadan bermakna negara kita terdedah pada ancaman bahaya keselamatan.

Diharapkan juga agar Makmal Pengurusan Pekerja Asing yang ditubuhkan 23 Mac lalu akan mengemukakan formula yang berkesan dalam menangani isu kebanjiran pendatang asing.

UM 15/04/2010

No comments: