Sering terputus hubungan dengan dunia luar adalah masalah utama kerap dihadapi penduduk di kawasan tanah tinggi Bario, di kawasan utara Sarawak, terutama ketika musim tengkujuh berikutan ketiadaan pengangkutan darat.
Setiap tahun kawasan yang semakin terkenal sebagai destinasi pelancongan itu hanya boleh dikunjungi menggunakan laluan udara. Belum ada laluan darat dibina menghubungkan tanah tinggi itu menyebabkan kehidupan penduduk majoritinya kaum Kelabit di situ agak terpisah dengan kawasan lain.
Namun, pengumuman peruntukan RM1 bilion sebagai kos untuk membina laluan menghubungkan Bario dan Ba’kelalan, ternyata memberi nafas lega bagi penduduk di kawasan itu yang sudah mengharapkan kemudahan itu sekian lama.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mengumumkan demikian berkata, pembinaan jalan sejauh 152 kilometer bermula daripekan Lawas akan direalisasikan secara berperingkat.
Menteri itu yakin pembinaan jalan yang dapat menghubungkan kedua-dua destnasi pelancongan berkenaan penting ke arah menyelesaikan masalah perhubungan antara Ba’ kelalan dan Bario, selain diharap mampu meningkatkan ekonomi kedua-dua kawasan.
Justeru, beliau mahu penduduk di kawasan itu menyokong usaha membina kemudahan itu dengan memberi kerjasama menyediakan infrastruktur berkenaan.
“Projek pembinaan jalan berkenaan membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar di negeri ini. Ia juga hadiah kepada penduduk Bario dan Ba’ Kelalan yang setia menyokong kerajaan. Ia terbukti melalui setiap pilihan raya yang memberi mandat kepada BN untuk menang,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’kelalan, Nelson Balang Rining berterima kasih kepada kerajaan Negeri dan Pusat yang prihatin terhadap masalah penduduk di kawasan tanah tinggi berkenaan.
“Sudah sekian lama penduduk di Bario meminta dibina rangkaian jalan darat yang boleh digunakan menghubungkan kawasan mereka. Sekarang mereka boleh menarik nafas lega dengan pengumuman peruntukan untuk membina laluan menghubungkan penempatan mereka dengan Ba’kelalan,” katanya.
Perjalanan meredah hutan dari Bario melintasi kawasan penempatan penduduk Pa' Lungan, Long Repun, Pa Rubai, Long Midang menuju ke Ba’kelalan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari untuk sampai ke kawasan yang terkenal dengan tanaman epal itu.
Bagaimanapun, jika menggunakan perahu melalui Sungai Pa’Mada, perjalanan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam bergantung kepada keadaan air sungai berkenaan.
Nelson berkata, sekiranya ada rangkaian jalan darat, penduduk Bario boleh mendapatkan barangan keperluan asas di pekan Lawas, berbanding menggunakan laluan udara seperti sekarang.
Katanya, banyak barangan seperti bahan api sukar untuk dibawa ke kawasan Bario menggunakan pesawat udara melainkan perlu menggunakan pesawat yang disewa khas.
“Jika sudah ada laluan darat menghubungkan Bario dan Ba’kelalan, penduduk boleh menggunakan laluan berkenaan untuk mendapatkan pelbagai barangan di pekan Lawas dan pekan lain berdekatan,” katanya. “Secara tidak langsung semua ini akan meningkatkan lagi ekonomi dan memudahkan penduduk membeli pelbagai keperluan harian mereka,” katanya.
Sementara itu, penduduk Bario, James Suli, 53, yakin penduduk di kawasan itu memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha merealisasikan pembinaan kemudahan jalan itu.
“Lagipun sebelum ini, setiap tahun terutama pada Disember, pesawat sering membatalkan penerbangan ke Bario akibat cuaca buruk,” katanya. “Jika ada kemudahan jalan darat, penduduk termasuk pelancong ada alternatif lain dan boleh menggunakan kemudahan berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment