PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20091207

Penduduk Bario minta bina jalan raya

Penduduk kaum Kelabit dan Penan di Pa Lungan, Bario yang tidak mempunyai akses jalan raya sejak berpuluh tahun lalu merayu kerajaan agar membina infrastruktur itu untuk menghubungkan mereka dengan dunia luar.

Mereka memberitahu, ketiadaan sistem jalan yang baik menyebabkan kira-kira 150 penduduk di situ terpaksa menggunakan laluan kecil yang dibuat sejak zaman penjajah.

''Ramai yang tidak mengetahui kos sara hidup di Bario antara yang paling tinggi di Malaysia dan daripada 14 kampung di kawasan tersebut, Pa Lungan paling kritikal,'' kata seorang penduduk, Maran Radu, 69, ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Misalnya, katanya, harga sekampit simen untuk setiap 50 kilogram ialah RM280, kerosin, petrol dan diesel (antara RM8 hingga RM10 seliter), satu selinder gas untuk kegunaan memasak RM240, sebiji telur RM1, satu tin minuman ringan RM3 dan gula RM5.

Namun, harga itu tidak termasuk caj tambahan sebanyak RM20 hingga RM40 untuk mengangkut barangan tersebut dari kedai runcit di Bario ke Pa Lungan dengan setiap kilogram barang yang diangkut sama ada menggunakan kenderaan atau kerbau dicaj RM1.

Beliau memberitahu, untuk pergi ke Pa Lungan, penduduk perlu menyewa kereta dari Bario ke Pa Ukat terlebih dahulu dengan perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit dan kemudiannya terpaksa melalui laluan kecil dengan memakan masa tiga jam sebelum tiba ke perkampungan berkenaan.

Katanya, perkampungan itu juga hanya dapat dikunjungi menggunakan bot dengan masa perjalanan selama dua jam melalui Sungai Debpur dengan kos sehala sebanyak RM300, sebelum berjalan kaki selama satu setengah jam.

''Oleh kerana laluan ini tidak dapat dimasuki kenderaan, kami terpaksa menggunakan kerbau untuk mengangkut barang-barang keperluan.

''Namun, bagi yang tiada kerbau, caj antara RM20 hingga RM30 dikenakan untuk 'mengupah' kerbau kepunyaan orang lain," katanya.

Beliau berkata, bukan satu perkara menghairankan jika harga minyak petrol, diesel atau kerosin melambung sehingga RM40 satu gelen kerana mereka terpaksa membayar kos pengangkutan kerbau, selain kos kereta sewa dan kos pengangkutan pesawat udara.

Ketua Kampung Pa Lungan, Matius Litah pula berkata, beliau berharap wakil kerajaan melawat kampung mereka untuk melihat realiti sebenarnya.

Menurut beliau, penduduk di situ memerlukan jalan yang baik kerana itu sahaja yang dapat menghubungkan Pa Lungan ke Bario dengan kos yang lebih murah berbanding perjalanan menggunakan bot.

''Dengan adanya jalan, mudah untuk kami memasarkan produk seperti beras Bario, sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya.

No comments: