5,000 polis pantau jalan raya KUCHING: Sejumlah 50 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini dengan tumpuan akan diberikan kepada kawasan berkenaan bagi memastikan kadar kemalangan dan kesesakan dapat diturunkan sepanjang tempoh Ops Sikap Ke-22 berlangsung.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh, berkata hampir 5,000 anggota polis di seluruh negeri akan terbabit dalam Ops Sikap bermula 3 hingga 17 September, membabitkan pelbagai penugasan seperti kawalan statik, rondaan di lokasi panas, kumpulan pemantau kesesakan dan kerjasama melalui Pasukan Tindak Balas Kecemasan.
Katanya, sasaran pihaknya pada tahun ini adalah penurunan lima peratus dari jumlah kadar kemalangan maut berbanding Ops Sikap terdahulu selain memastikan kelancaran trafik menjelang Aidilfitri.
"Berbeza di Semenanjung, Ops Sikap di Sarawak turut membabitkan Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang akan memantau pergerakan bot ekspres yang menjadi pengangkutan utama di kalangan orang ramai ketika musim perayaan. "Selain itu kawalan dan pemantauan lebih rapi akan dibuat khususnya di kawasan lokasi kemalangan maut bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Ops Sikap Ke-22, di sini, kelmarin.
Antara laluan lokasi kemalangan maut adalah di Jalan Kuching-Sri Aman; Jalan Lundu-Bau; Jalan Sri Aman-Sarikei; Jalan Betong-Simpang Pusa; Jalan Mukah-Sibu; Jalan Pesisir Pantai Miri; Jalan Oya-Mukah; Jalan Bintulu-Tatau dan Jalan Beluru-Bakong. Mohmad berkata, selain memastikan kelancaran trafik, anggota polis yang terbabit terbabit dalam Ops Sikap juga bertanggungjawab melakukan penugasan pencegahan jenayah.
"Di Sarawak terdapat kira-kira 1.29 juta kenderaan dengan ia dianggap banyak berbanding dengan jumlah penduduk. Pertambahan jumlah kenderaan ini didapati tidak sejajar dengan pertambahan jaringan jalan raya.
"Disebabkan itu kadar kemalangan di negeri ini masih agak tinggi walaupun pelbagai usaha dan pendekatan mengurangkan kemalangan termasuk kehilangan nyawa telah dilakukan banyak agensi kerajaan," katanya. Beliau berkata, kesalahan yang kerap dilakukan pengguna jalan raya ialah memotong di barisan berkembar; melanggar lampu isyarat; memandu secara merbahaya; memotong barisan dan melebihi had laju.
"Berdasarkan kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 60 peratus punca kemalangan adalah disebabkan sikap pemandu yang cuai seperti mabuk atau mengantuk, manakala bakinya disebabkan faktor jalan serta yang lain,” katanya
BH 3.9.2010
No comments:
Post a Comment