PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100825

Sarawak - Taib Mahmud : 'Saya sedia undur'



...terpulang kepada Perdana Menteri, parti tentu nasib saya

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang sudah 43 tahun aktif dalam politik, termasuk 29 tahun menerajui kerajaan negeri, semalam menyatakan kesediaannya untuk berundur jika khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Ramai yang mengatakan saya sudah tidak diperlukan lagi. Jika benar saya tidak diperlukan lagi, maka saya sedia berundur, katanya ketika ditanya apakah beliau akan bertanding lagi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, yang perlu diadakan sebelum Julai tahun depan. Abdul Taib yang ditemui selepas majlis penyampaian zakat dan biasiswa Amanah Rakyat Berhad (ARB) di pejabatnya di sini, bagaimanapun berkata, biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menentukan nasibnya pada pilihan raya negeri ke-10 nanti.

"Saya sendiri tidak tahu nasib saya, terpulang kepada Perdana Menteri. Terpulang kepada parti menentukan sama ada saya akan bertanding atau tidak. Jika tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Terdahulu, Abdul Taib menerima zakat perniagaan sebanyak RM10,000 untuk diagihkan kepada anak yatim daripada Pengarah Urusan Kumpulan ARB, Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.

Abdul Taib turut menyampaikan biasiswa kepada tiga pelajar tajaan ARB ke program khas Pengajian Ulum Islamiah dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah, dengan setiap pelajar menerima tajaan bernilai RM80,000. Tiga pelajar berkenaan ialah Mohammad Zubair Mustafa; Faliq Asraf Jafri dan Nadira Hamapei, ketiga-tiganya berusia 18 tahun.
Abdul Taib pertama kali mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1967 ketika berusia 31 tahun dan selepas itu dilantik Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri pada 1968.

Di bawah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, beliau dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada September 1970. Pada 1972, beliau dilantik Menteri Sumber Asli dan selepas itu memegang pelbagai portfolio di bawah Tun Razak dan Tun Hussein Onn sehingga 1981. Beliau juga pernah dilantik Menteri Wilayah Persekutuan yang pertama pada 1980.

Abdul Taib mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2004 termasuk beberapa kali menang tanpa bertanding sebelum memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada 2008, dengan anaknya Datuk Seri Sulaiman Taib menggantikannya.

Pada 1981, beliau turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi bagi membolehkannya kembali ke Sarawak dan menjadi Ketua Menteri, menggantikan Tun Abdul Rahman Yaakub. Beliau juga mempertahankan kerusi DUN Sebandi pada 1983, 1987; kerusi DUN Asajaya (1991, 1996) dan DUN Balingian (2001 dan 2006).

Mengulas isu lain, Abdul Taib berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pernah kalah teruk pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak 2006.

"Selama ini saya sudah banyak membantu SUPP, sama ada mereka mahu menerimanya atau tidak, ia perkara lain. Saya sudah memberikan analisis dan nasihat mengenai masalah mereka sebelum ini.

"Kini terpulang kepada mereka. Jika saya melakukan lebih dari itu, ada di kalangan pemimpin SUPP akan mengkritik saya kerana mencampuri hal ehwal dalaman parti itu," katanya sambil menambah SUPP sebenarnya lebih perlu membantu diri mereka sendiri, bukannya mengharapkan bantuan dari luar dalam memulihkan kekuatan parti berkenaan

Berita Harian 2010/08/25

No comments: