PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20100225

Ekonomi pulih


Pertumbuhan suku keempat 2009 luar jangkaan; Sasaran lima peratus 2010

Ekonomi Malaysia yang menguncup sepanjang sembilan bulan pertama tahun lalu, kembali pulih dengan mencatat pertumbuhan tinggi sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009.

Pertumbuhan luar jangkaan itu menjadikan penguncupan keseluruhan tahun lalu hanya 1.7 peratus, jauh lebih baik berbanding unjuran awal penguncupan sebanyak 3.0 peratus.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan perkara itu, berkata berikutan pencapaian berkenaan, ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang pada kadar lima peratus.

"Jika tidak berlaku perkara luar jangkaan kepada ekonomi global, boleh dikatakan ekonomi Malaysia sudah pulih daripada kesan krisis global dan akan menikmati pertumbuhan kukuh pada 2010.

"Jangkaan awal pertumbuhan tahun ini adalah sekitar empat peratus, tetapi saya yakin ia akan merekodkan pertambahan pertumbuhan antara satu hingga dua peratus lebih tinggi daripada unjuran itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Berikutan krisis kewangan global, ekonomi Malaysia mencatat penguncupan dalam suku pertama, kedua dan ketiga tahun lalu pada kadar 6.2, 3.8 dan 1.2 peratus. Sebahagian besar ahli ekonomi mengunjur ia berkembang pada kadar 3.0 hingga 3.5 peratus pada suku keempat 2009.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur bagi merangsangkan lagi aktiviti ekonomi termasuk menyegerakan pelaksanaan pelbagai projek dan menggalakkan pelaburan swasta.

"Dengan keyakinan pengguna yang lebih tinggi, perkembangan ekonomi tahun ini akan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya," katanya.

Najib berkata, pelaksanaan agresif dua pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan pada November 2008 dan Mac 2009 menjadi faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Sehingga kini, lebih 113,000 projek bernilai RM17 bilion telah dan sedang dilaksanakan dan daripada jumlah itu, RM13.9 bilion sudah dibayar atau secara puratanya sebanyak RM1 bilion sebulan mengalir ke pasaran sejak Januari 2009.

"Antara sebab utama kita dapat membelanjakan kira-kira RM1 bilion sebulan pada 2009 adalah kerana kita mempunyai unit pemantauan khas di Kementerian Kewangan.

"Unit itu tidak ada sebelum ini, tetapi ditubuhkan dan bekerja keras serta terbabit dengan pelbagai kementerian serta agensi pusat bagi memastikan semua program yang dibuat di bawah dua pakej rangsangan dilaksanakan segera.

"Ini adalah antara sebab utama kenapa kita meraih pencapaian luar jangkaan dari segi pertumbuhan," katanya.

Perdana Menteri berkata, antara aspek utama pakej rangsangan dan Bajet Mini 2009 adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan sejak Mac 2009 sejumlah 38,495 daripada 50,000 jawatan kosong di sektor awam sudah diisi.

"Kerajaan juga sudah mengambil 11,131 orang sebagai pekerja kontrak, yang mana mereka disarankan mencari pekerjaan tetap setelah tamat kontrak.

Sebanyak 100,000 lagi peluang latihan dan pekerjaan diwujudkan menerusi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama sektor swasta.

Langkah itu, kata Najib, memanfaatkan pekerja dari sektor perkhidmatan, graduan menganggur, pekerja yang diberhentikan, ibu tunggal, pekerja kurang upaya dan aperentis.

Beliau berkata, sebanyak RM230 juta telah dibahagikan kepada pelbagai pusat latihan di peringkat negeri untuk latihan teknikal dan daripada jumlah itu RM169 juta digunakan untuk latihan kepada 13,916 pekerja daripada pelbagai industri.

"Secara keseluruhan, keadaan pasaran pekerja bertambah baik pada suku keempat. Jumlah pemberhentian pekerja berkurangan kepada 2,125 orang berbanding 12,590 orang pada suku pertama tahun lalu," katanya.

Najib menjelaskan pada suku keempat 2009, pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan perbelanjaan sektor awam menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi, meningkat tiga peratus berbanding 0.4 peratus pada suku ketiga 2009.

Peningkatan penggunaan swasta itu disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi rendah serta perbelanjaan lebih tinggi pada musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.

Sementara itu, terdapat tanda penstabilan dalam perbelanjaan modal sektor swasta pada suku keempat tahun lalu kerana sentimen perniagaan terus bertambah baik.

Perkembangan itu, katanya, berserta perbelanjaan sektor awam yang tinggi, telah menyumbang kepada pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar yang mencatat pertumbuhan positif sebanyak 8.2 peratus pada suku berkenaan berbanding penguncupan 7.9 peratus pada suku sebelumnya.

Menyentuh prestasi eksport, Najib berkata, Malaysia kembali mencatat pertumbuhan positif 5.1 peratus berbanding penguncupan 22.4 peratus pada suku ketiga, disokong peningkatan permintaan luar negara, khususnya dari negara serantau serta harga komoditi yang lebih kukuh.

Malaysia juga terus menerima pelaburan asing dengan aliran masuk kasar meningkat kepada RM7.2 bilion berbanding RM6.7 bilion pada suku ketiga, dengan sejumlah besar pelaburan adalah dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

No comments: