NAJIB ketika membentangkan bajet Mini bagi menghadapi krisis ekonomi global di parlimen
- Peruntukan pakej dilaksana dalam tempoh 2 tahun
- Kerajaan terbit bon tambah pendapatan rakyat
Kerajaan memperuntukkan RM60 bilion dalam pakej kedua bagi merangsang kegiatan ekonomi dan mengelak negara daripada terjejas teruk oleh krisis ekonomi dunia yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 70 tahun. Pakej rangsangan menyeluruh, menjangkau lebih banyak sektor dan kumpulan sasaran itu menumpukan kepada empat teras, iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; meringankan beban rakyat; membantu sektor swasta menghadapi krisis ekonomi semasa; dan membina keupayaan masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkannya di Dewan Rakyat semalam, berkata peruntukan pakej itu, yang bersamaan sembilan peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan terbesar dalam sejarah ekonomi negara, akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Daripada jumlah itu, RM15 bilion adalah suntikan fiskal, RM25 bilion dalam bentuk Dana Jaminan; RM10 bilion pelaburan ekuiti, RM7 bilion inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan perbelanjaan luar bajet; serta RM3 bilion dalam bentuk insentif cukai. Bagi agihan berdasarkan teras pula, RM2 bilion diperuntukkan bagi teras pertama, RM10 bilion (teras kedua), RM29 bilion (teras Ketiga), dan RM19 bilion (teras keempat). Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, saiz perbelanjaan itu akan meningkatkan defisit Bajet Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan naik kepada 7.6 peratus tahun ini daripada anggaran 4.8 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan yakin dasar fiskal negara mempunyai fleksibiliti dan keupayaan menampung defisit lebih tinggi yang akan dibiayai oleh sumber dalam negara. Beliau menegaskan, pakej rangsangan kedua itu perlu dilaksanakan kerana krisis ekonomi global semasa, bermula daripada krisis kewangan subprima di Amerika Syarikat (AS) pada pertengahan 2007 membawa kesan yang jauh lebih meluas serta mendalam, dan setakat ini masih belum nampak tanda pemulihan.
Malah, katanya, lebih separuh ekonomi utama dunia, terutama di AS, kawasan Eropah serta Jepun, telah mengalami penguncupan ekonomi paling buruk sejak 'Kemelesetan Terburuk' pada 1930-an. Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif itu mula memberikan kesan ke atas ekonomi negara dalam suku keempat tahun lalu dengan eksport dan pengeluaran industri mula merosot dan pelaburan berkurangan, manakala sentimen pengguna juga turut terjejas.
Persekitaran ekonomi global bagi tahun ini dijangkakan lebih sukar dengan AS, iaitu ekonomi dan negara perdagangan terbesar dunia, diramal mengalami pertumbuhan ekonomi negatif 1.6 peratus, sementara United Kingdom negatif 2.8 peratus, dan Jepun negatif 2.6 peratus. Di rantau ini pula, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura akan terus mengalami kemelesetan ekonomi, iaitu masing-masing pada negatif 2 peratus. "Malaysia kini berdepan keadaan ekonomi amat mencabar yang memerlukan kerajaan mengkaji semula unjuran pertumbuhan KDNK.
Namun, Kerajaan yakin bajet asal 2009 dengan peruntukkan RM206 bilion serta pakej rangsangan pertama berjumlah RM7 bilion ringgit dan pakej kedua ini mampu mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara. "Jika usaha ini tidak diambil, ekonomi negara akan mengalami kemelesetan serius. Dengan langkah yang diambil, pertumbuhan KDNK negara dijangka dalam lingkungan -1 peratus hingga satu peratus," katanya.
Sementara itu, di bawah teras pertama iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, kerajaan antara lain akan mewujudkan 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta, mengisi 63,000 jawatan di pelbagai agensi kerajaan dan memberikan insentif cukai kepada syarikat yang mengambil pekerja yang diberhentikan. Kerajaan juga akan menampung kos yuran pengajian masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM20,000 bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dan sarjana serta mengembangkan skop skim Prosper Siswazah.
Bagi teras kedua pula, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM674 juta sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung, selain RM480 juta supaya kadar tol lebuh raya tidak dinaikkan. Sebanyak RM200 juta pula diperuntukkan sebagai peruntukan tambahan kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd untuk membina rumah mesra rakyat, sementara bagi membantu pembeli rumah, kerajaan akan memberikan pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun.
Bagi menambahkan lagi pendapatan rakyat, kerajaan akan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berlandaskan Syariah berjumlah RM5 bilion tahun ini dengan kadar pulangan lima peratus setahun. Untuk membantu syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, kerajaan antara lain akan menubuhkan Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Dana Jaminan Penstrukturan Semula Industri masing-masing dengan dana RM5 bilion; serta sebuah Institusi Jaminan Kewangan dengan modal awal RM1 bilion.
Bagi menggerakkan sektor automotif, kerajaan bersama dengan Proton dan Perodua mewujudkan skim pelupusan kereta di mana pemilik sebarang jenama kereta yang mahu melupuskan kereta berusia lebih 10 tahun akan diberikan diskaun RM5,000 bagi membeli kereta baru.
Najib turut mengumumkan yang kerajaan akan meningkatkan dana pelaburan Khazanah Nasional sebanyak RM10 bilion yang akan dilaburkan dalam projek impak tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang; mengenal pasti projek pelaburan bernilai RM5 bilion yang akan dilaksanakan secara di luar bajet; serta penyediaan dana sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan projek melalui Inisiatif pembiayaan Swasta (PFI).
No comments:
Post a Comment